2 February 2012

Pangsapuri terbakar



SEBAHAGIAN daripada penduduk hanya mampu melihat dari jauh kebakaran di tingkat empat Pangsapuri 16 Taman Semarak 2, Nilai kelmarin.



NILAI - Penduduk di Pangsapuri Taman Semarak 2, Nilai dekat sini lari bertempiaran menyelamatkan diri apabila 14 unit rumah di tingkat empat bangunan itu terbakar kelmarin.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam itu kerana tiada penghuni tinggal di tingkat empat flat terbabit.

Seorang saksi, Abd. Razak Nasir, 55, berkata, dia terkejut apabila melihat asap tebal dari beberapa buah rumah di tingkat empat Blok 16 itu.

"Tidak lama kemudian api marak dengan cepat ke beberapa buah rumah bersebelahan.

"Penduduk yang tinggal di tingkat bawah lari menyelamatkan diri dan membawa bersama harta benda masing-masing kerana bimbang api merebak ke rumah mereka," katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Nilai, Zainal Ahmad memberitahu, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran di pangsapuri empat tingkat itu pada pukul 8.26 malam.

Katanya, tiga jentera bersama 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Nilai dan Senawang dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mengawal kebakaran selain bantuan lori tangki air dari Balai Bomba Seremban 2.

0 comments:

Post a Comment