Nik Abdul bersalaman dengam anggota Pekida pada program Pelancaran Merealisasikan Amar Maaruf Nahi M
KOTA BHARU – Terserah kepada kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjelaskan kepada orang ramai mengenai isu sokongan terhadap Israel, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Saya akan dengar jawapan daripada dia (Anwar), tapi saya tak akan jawab. Saya serah kepada dia sendiri untuk menjelaskan kerana saya mahu mengelak wartawan melaga-lagakan saya dengan dia.

“Soal dia nak pertahan kenyataan dia menyokong Israel itu dia punya pasal, kenyataan saya sebagai mewakili Pas dan dia mewakili PKR,” katanya kepada media selepas melancarkan Program Merealisasikan Amar Maaruf Nahi Mungkar Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Negeri Kelantan di sini, semalam.
Mengenai kemungkinan Ketua Pembangkang itu salah faham kenyataan Pas berhubung isu tersebut, katanya, itu tak menjadi masalah.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, segalanya akan terjawab apabila beliau berpeluang bertemu Anwar.

“Ahad malam atau pagi Isnin depan saya akan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Mesyuarat Raja-Raja. Kalau Anwar dapat bertemu saya di sana, terima kasihlah,” katanya.

Anwar dalam kenyataannya semalam menegaskan tidak berganjak dengan pendiriannya untuk mengiktiraf Israel dengan syarat negara itu berundur dan menghentikan keganasan terhadap rakyat Palestin.

Katanya, walaupun beliau akur perbezaan pendirian antara Pas dan PKR berhubung kezaliman Israel terhadap Palestin, PKR sentiasa berkongsi hasrat dengan Pas untuk melihat Palestin merdeka sepenuhnya.

Anwar berkata, beliau dituduh sebagai ejen Israel oleh media Umno sedangkan Menteri Luar dari Umno secara terbuka mengesahkan kewujudan Israel berdasarkan penyelesaian dua negara (two-state-solution) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).