19 February 2012

“Ni Mesti Sebab Tak Bayar Zakat…”

Dikhabarkan bahawa ada sebuah keluarga ditimpa musibah iaitu dirompak dan menyebabkan berlakunya kerugian.  Seperti biasa orang-ramai akan terdorong untuk memberi respon apatah lagi berita itu dilaporkan di media.  Ada yang simpati lalu mengucapkan kata-kata yang mulia seperti mengajak beliau bersabar kerana ia adalah ujian daripada ALLAH.  Ada yang responnya negatif.  Antara yang biasa saya dengar ialah:

“Ni mesti sebab tak bayar zakat”
Biasa dengar?

Saya biasa dengar kata-kata seperti ini.  Malah saya sendiri pernah diucapkan kata-kata seperti ini oleh seorang wanita dikenali oleh rakan-rakannya sebagai ‘mulut tak makan saman’.  Saya ketika itu ditimpa musibah akibat kerosakan motorsikal.  Saya diam dan senyum sahaja mendengar ucapan tersebut walaupun di dalam hati rasa membara.  Tetapi kata-kata beliau tetap saya ambil sebagai peringatan buat diri sendiri.
Namun, wajarkah kata-kata seperti itu dilontarkan kepada orang yang ditimpa musibah?  Itukah cara terbaik kita merespon kepada seseorang yang sedang diuji ALLAH?

Banyak hadith-hadith Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang menggambarkan bahawa musibah adalah suatu ujian buat hambaNYA yang boleh menatijahkan kemuliaan, dengan syarat bersabar.  Jika tidak bersabar, maka kerugianlah yang dimiliki si ditimpa musibah.
Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Sesungguhnya besarnya pahala itu tergantung pada besarnya ujian.  Dan sesungguhnya apabila ALLAH Ta’ala mencintai sesuatu bangsa maka ALLAH menguji mereka; barangsiapa redha maka ALLAH akan meredhainya.  Dan barangsiapa yang marah, maka ALLAH akan memarahinya.” (HR at-Turmudzy)
Bukankah hadith di atas terkandung di dalamnya bahawa musibah itu adalah antara cara ALLAH sedang menguji kualiti iman hambaNYA?

Baca pula hadith berikut:
Dari Abu Sa’id dan Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhuma, dari Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Seorang muslim yang tertimpa kecelakaan, kemelaratan, kegundahan, kesedihan, kesakitan mahupun kedukacitaan akibat tertusuk duri pun, nescaya ALLAH akan menebus dosanya dengan apa yang menimpanya itu.” (HR Bukhari & Muslim)
Dan ini:
Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata, Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Barangsiapa yang dikehendaki oleh ALLAH menjadi orang baik, maka ditimpakan musibah (ujian) kepadanya.” (HR Bukhari)

Justeru, janganlah kita terlalu lekas menghukum dan mengeluarkan kata-kata yang tidak enak didengar oleh orang yang sedang ditimpa musibah.

Yang terbaik ialah ingatkan mereka yang ditimpa musibah itu dengan hakikat bahawa kita ini milik ALLAH dan kepadanya kita akan kembali, “Inna lillahi wa inna ilaihi raji`un”.  Seterusnya ucapkan kata-kata yang baik seperti menasihati mereka agar bersabar dengan ujian dan mendoakan untuk kebaikan mereka.
Semoga ALLAH melindungi kita dari kejahatan mulut dan tangan kita, amin.

0 comments:

Post a Comment