Sebahagian daripada bahan-bahan yang dipamerkan di Muzium Sejarah Sukan Olimpik di Antiquity.
OLYMPIA - Dua lelaki bertopeng memecahkan kabinet pameran dan melarikan lebih 60 objek bernilai dari muzium bersejarah di sini, yang menyimpan warisan berkaitan dengan sukan Olimpik.

Menteri Kebudayaan Greece, Pavlos Geroulanos menawarkan hasrat untuk meletakkan jawatan ekoran kejadian itu tetapi keputusannya belum diterima lagi.

Beliau melawat lokasi kejadian yang terletak di kawasan bukit sebelah barat  Greece.

Ia kejadian kali kedua tahun ini, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai tahap keselamatan ke atas muzium bersejarah.

Laporan BBC menyebut dua lelaki dilaporkan memasuki Muzium Sejarah Sukan Olimpik di Antiquity sekitar jam 7.30 pagi waktu tempatan (1.30 tengah hari waktu Malaysia) semalam dan mendesak seorang pekerja wanita menyerahkan pelbagai objek yang disimpan di muzim berkenaan.

Apabila dia enggan menyerahkan, pekerja terbabit diikat.

Datuk Bandar Olympia Thymios Kotzias berkata, penyamun terbabit telah menyasarkan pengawal-pengawal keselamatan ketika waktu pertukaran giliran kerja dan mematikan sistem isyarat kawalan keselamatan.

"Kita kena tunggu dan lihat apa yang penyelia arkeologi akan berkata, tetapi barang-barang ini sangat bernilai,” katanya.

Beribu-ribu orang melawat Olympia tempat kelahiran sukan Olimpik setiap tahun.