16 February 2012

Murid tahun satu terbunuh

ALOR GAJAH 15 Feb. - Seorang murid tahun satu maut manakala abangnya berusia 12 tahun parah setelah kereta yang mereka naiki terbabas di Kilometer 213.2 arah selatan Lebuh Raya Utara Selatan, di sini awal pagi ini.

Siti Nurnajwa Nordin, 7, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka manakala abangnya, Amir Haziq, 12 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) setelah tercampak dari kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu bapanya.

Bapa dua beradik itu, Nordin Mohamad Shukor, 36, dan isterinya, Siti Aisyah Othman, 36, hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, kereta dinaiki empat sekeluarga itu dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di tempat kejadian menyebabkan kenderaan itu berpusing beberapa kali sebelum terbabas dan terhumban ke dalam longkang.

"Dua beradik itu yang berada di tempat duduk belakang dipercayai tercampak keluar melalui tingkap menyebabkan mereka cedera parah di kepala.

"Siti Nurnajwa meninggal dunia sejam kemudian semasa dirawat di Hospital Melaka, manakala abangnya, Amir Haziq masih lagi dirawat di ICU," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, kedua ibu bapa mangsa bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Melaka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jenazah dikebumikan di Parit Sulong,Johor, petang ini.

0 comments:

Post a Comment