Dihempap lori angkut sampah
KAMUNTING – Bunyi seakan letupan mengejutkan saksi kejadian pertembua­ngan­ sebuah lori sampah dengan Proton Iswara dalam satu kejadian di hadapan stesen minyak Petronas Kamunting, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu menyebabkan seorang pekerja lori sampah, Abdul Rahman Razali, 40, maut di tempat kejadian.

Saksi yang mahu dikenali sebagai Siti berkata, ketika kejadian dia sedang menunggu di perhentian bas berhampiran.

Menurutnya, secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Proton Iswara dari Pekan Kamunting yang dipandu seorang lelaki tiba-tiba meluru ke arah lori sampah di laluan bertentangan sebelum bertembung.

“Akibat pertembungan ini, seorang pekerja yang berdiri di bahagian tepi lori gagal menyelamatkan diri sebelum dihempap lori ini. Manakala tiga lagi pekerja sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Siti berkata, sementara itu, kereta Honda Civic yang ketika itu berada di belakang Proton Iswara tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang Proton Iswara namun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelemat Kamunting, Penolong Penguasa Bomba M Mahandran berkata, mayat yang dihempap lori terbabit berjaya dikeluarkan dengan bantuan kren daripada syarikat swasta.

Menurutnya, manakala, mangsa yang cedera parah dan tersepit dalam Proton Iswara dikeluarkan menggunakan hydrolic rescue carter.

“Tiga pekerja lori sampah itu hanya mengalami cedera ringan dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar. Kami mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk membantu mangsa yang terselamat, mengeluarkan mayat yang dihempap lori sampah dan kemudiannya membersihkan minyak yang tertumpah di jalan ini,” katanya.

Katanya, laluan utama Kamunting-Taiping menjadi sesak kira-kira satu kilometer dari kedua-dua arah.

Seramai 12 anggota dengan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting telah bergegas di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Polis daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah mengesahkan kejadian dan kes masih disiasat.