ditemui  mati
KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga kain ditemui mati di ruang tamu kediamannya di Pangsapuri Permint Harmoni dipercayai lemas selepas terhidu asap tebal akibat tindakannya yang membakar sejenis arang di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu berlaku ketika mangsa, Yap Yee Wei, 36 yang beralamat di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu, Kelantan sedang berseorangan di rumahnya sebelum dia ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh seorang rakan yang kebetulan mengunjungi rumahnya.

Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, dia pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah mangsa gagal membuka pintu rumahnya selepas hampir sejam diketuk.

“Saya datang kira-kira jam 3.30 petang dan melihat rumah mangsa berkunci. Saya ketuk berulang kali hampir sejam tetapi pintu masih belum dibuka.

“Bimbang sesuatu tidak baik berlaku, saya kemudiannya pergi menemui bekas penghuni rumah berkenaan untuk meminta bantuan membuka pintu rumahnya,” katanya.

Menurutnya, sejurus pintu dibuka, dia terkejut apabila melihat mangsa terbaring kaku di atas sebuah katil dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Keadaan dalam rumah juga agak berasap dan terdapat satu bekas membakar arang di sisi katil mangsa, selain beberapa tin minuman keras.

“Dia (mangsa) tinggal di sini berseorangan selepas bercerai dengan isterinya sejak dua tahun lalu dan mempunyai seorang anak perempuan berusia 8 tahun,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat pada jam 6.30 petang.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner, K Manoharan mengesahkan kejadian.
Katanya, pihak polis turut menemui nota yang ditulis dalam bahasa Cina dipercayai nota bunuh diri dan kes disiasat kerana kematian mengejut.