tabung-haji
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan dua bekas pengurus besar kanan Tabung Haji (TH) yang dihukum penjara 10 tahun atas kesalahan pecah amanah dan menipu melibatkan wang RM200 juta institusi itu, 10 tahun lalu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali, Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Azhar Ma'ah sebulat suara membenarkan rayuan terakhir Datuk Mohd Amin Sidek dan Datuk Mohammad Shafie bagi mengenepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen.
Sebaik sahaja penghakiman, Mohd Amin, 60 dan Mohammad, 62, tidak dapat menahan perasaan sebak dan memeluk satu sama lain.

Selepas itu, mereka memeluk ahli keluarga, rakan-rakan dari TH dan jiran masing-masing yang berada di mahkamah sejak pagi tadi.

"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih pada keluarga dan kawan-kawan dari Tabung Haji yang banyak memberikan sokongan kepada saya, juga terima kasih kepada peguam-peguam saya," kata Mohammad dalam nada yang sebak ketika ditanya
wartawan mengenai keputusan itu.

Beliau berkata, selama 10 tahun menunggu kes itu selesai, akhirnya keputusan yang dinanti itu amat menggembirakannya sambil menyifatkan badan kehakiman negara ini adil dan telus.

Mohd Amin pula berkata beliau amat bersyukur dengan keputusan itu dan percaya kebenaran akan tetap dibuktikan.

"Daripada awal lagi saya menjangkakan keputusan ini kerana saya tahu saya tidak bersalah," katanya.
Kedua-dua mereka diwakili oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Sulaiman Abdullah dan Zamani Ibrahim.

Hakim Ramly ketika membacakan keputusan itu berkata setelah meneliti hujahan dan semua fakta,  mahkamah mendapati pelaburan asing melibatkan wang TH itu telah didedahkan dalam kertas cadangan yang dimajukan kepada menteri yang berkenaan.

Katanya, penemuan fakta berkaitan pelaburan asing yang bertentangan dengan keterangan saksi pendakwaan itu menyebabkan pertuduhan menipu tidak boleh dipertahankan.

Ramly berkata, Hakim Bicara (Hakim Mahkamah Sesyen) telah tersilap arah ketika membuat keputusan mensabitkan mereka terhadap pertuduhan pecah amanah kerana tiada elemen niat ketidakjujuran.

Beliau berkata tiada isu penyembunyian fakta mengenai pelaburan asing perlu mendapat kelulusan menteri kerana keterangan daripada saksi pendakwaan dalam keterangan berkata pelaburan jangka pendek itu tidak memerlukan kelulusan menteri.

Ramly berkata keterangan itu telah menimbulkan keterangan yang munasabah pada perayu (Mohd Amin dan Mohammad) berhubung elemen ketidakjujuran.

"Oleh itu sabitan dan hukuman tidak selamat untuk dipertahankan. Dengan ini rayuan perayu dibenarkan, sabitan dan hukuman diketepikan dan perayu dilepaskan dan dibebaskan," katanya.

Mohd Amin, bekas pengurus besar kanan (kewangan) dan Mohammad, bekas pengurus besar kanan (pelaburan), masing-masing dikenakan hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 23 Januari 2007, selepas mendapati mereka bersalah melakukan pecah amanah wang TH.

Bagi tuduhan melakukan pecah amanah, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak di ibu negara di antara 14 Julai 2000 dan 11 Mei 2001.

Kedua-dua bekas pegawai kanan itu turut dihukum penjara enam tahun setiap seorang atas dua kesalahan menipu dua menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kelulusan pelaburan dana itu.

Mereka dituduh bersama-sama menipu Tan Sri Abdul Hamid Othman dan Brigedier Jeneral (B) Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin di JPM Putrajaya antara 29 Jun 2000 dan 27 Julai 2001.

Mahkamah Sesyen memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak. - Bernama