saha sanusi meninggal
Mohd Sanusi Mohamad, 67, atau turut dikenali Saha Sanusi yang juga merupakan legenda badminton negara kembali ke rahmatullah, kira-kira jam 9.20 malam kelmarin, di Hospital Columbia Asia, Cheras akibat kanser darah tahap akhir.

Menurut anaknya, Hartyny Saha, 33, berkata, ayahnya menghembuskan nafas terakhir setelah lebih enam bulan terlantar dan sejak sebulan lalu kesihatan kurang mengizinkan sehingga gagal bergerak.

“Sebelum ini arwah hanya disahkan menghadapi masalah jantung juga tulang belakang, malah daripada pemeriksaan bulanan pun tidak dapat mengesan penyakit kansernya.

“Cuma pada Isnin lalu, selepas lebih tiga hari arwah tidak menjamah makanan dan kami ahli keluarga khuatir melihatkan keadaan arwah semakin lemah, kami merujuk ke hospital sebelum dimaklumkan arwah menghidap kanser darah tahap akhir,” katanya kepada Sinar Harian.

Hartyny berkata, menjadi hasrat arwah agar mereka tujuh beradik meneruskan legasi Saha dalam arena badminton negara.

“Dua abang saya kini menjadi jurulatih badminton masing-masing di Itali dan Jerman, manakala empat cucu arwah kini turut menjadi wakil Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA).

 Arwah meninggalkan balu Hayatee Ahmad, 65, tujuh anak, Cheiryl Saha, 41; Davincy saha, 40; Eddeeza Saha, 39; Fredyno Saha, 38; Geevien Saha, 36; Hartyny Saha, 33; dan Idyvino Saha, 21 serta 13 cucu.