3 February 2012

Lagi kes hina Islam

KAHERAH 3 Feb. – Aktor komedi terkenal Arab, Adel Imam, dijatuhi hukuman penjara tiga bulan kerana menghina Islam dalam filem-filem serta dramanya, menurut satu dokumen mahkamah, semalam.

Imam yang juga Duta Muhibah Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), dijatuhi hukuman tersebut tanpa kehadirannya selepas kesnya dikemukakan Asran Mansour, seorang peguam yang mempunyai hubungan dengan parti-parti Islam Mesir.

“Saya akan mengemukakan rayuan. Segelintir pihak yang mahu mencari publisiti telah memfailkan dakwaan itu ke atas saya, kononnya menuduh saya menghina Islam. Ia tidak benar sama sekali,” katanya.

Selebriti berusia 71 tahun yang digelar Charlie Chaplin dunia Arab itu, sering berselisih dengan parti Islam yang menyifatkan filem serta dramanya sebagai menghina Islam.

Dalam kes terbaru, Imam berkata, dia dikritik kerana membawakan watak seorang fundamentalis Islam dalam filem Al-Irhabi (The Terrorist) pada 1994 serta drama Al-Zaeem (The Leader) yang mempersendakan pemimpin autokrat rantau Arab.

“Semua hasil filem saya telah melalui proses tapisan. Jika ia didapati boleh mendatangkan penghinaan, sudah tentu ia tidak boleh ditayangkan,” katanya.

Sepanjang 40 tahun kariernya, Imam telah berlakon dalam lebih 100 filem termasuk filem The Yacoubian Building yang memenangi anugerah.

Selain hukuman penjara, Imam turut didenda sebanyak 1,000 pound Mesir (RM510).

0 comments:

Post a Comment