21 February 2012

Ketua juruwang Mydin pulak pecah amanah RM46,000

KUALA LUMPUR - Seorang ketua juruwang Mydin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan pecah amanah melibatkan RM46,000, Khamis lepas.

Rohaiza Tan @ Rohaiza binti Tan, 30, didakwa selaku ketua juruwang di Syarikat Mydin Mohamad Holding Berhad melakukan pecah amanah membabitkan RM46,162.50 di Aras 6, Mydin Jalan Masjid India di sini pada 9.00 pagi 16 Feb lepas.

Beliau boleh dikenakan penjara maksimum 14 tahun dan sebat atau denda bagi setiap tuduhan jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Rohaiza juga didakwa memberi kenyataan palsu di ibu pejabat polis Dang Wangi di sini pada 1.35 ptg pada hari yang sama.

Tertuduh didakwa di bawah Sekseyn 181 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda.

Pihak pendakwaan, yang diwakili timbalan pendakwa raya N.Jayanthi meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam Wan Azmir Wan Majid merayu bagi jumlah lebih rendah oleh kerana tertuduh mempunyai ibu apa untuk dijaga.
  
Majistret Nur Azura Murah menetapkan 20 Mac untuk sebutan kes, dan ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin. 

Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang warga emas mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mencabul kehormatan seorang gadis berusia 17 tahun, Sabtu lepas.

Mat Amin Mokhtar, 61, didakwa melakukan kesalahan itu di Gerai Minum Kasturi Walk, Jalan Hang Kasturi, Central Market di sini pada 1.35 ptg hari tersebut.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebatan, atau salah satu dari keduanya, jika sabit kesalahan.

Jayanthi menawarkan ikat jamin RM7,000, bagaimanapun tertuduh berkata tidak ada pihak tampil untuk membayar ikat jamin.

Nur Azura menetapkan 9 Mac untuk sebutan kes. - Bernama

0 comments:

Post a Comment