26 February 2012

Kera mengganas di Teluk Intan



ORANG ramai termasuk anggota bomba cuba menghalau kera liar (gambar kecil) yang mengganggu penduduk di Teluk Intan kelmarin.



TELUK INTAN - Penduduk Kampung Bahagia di sini tidak lagi sebahagia seperti dahulu.
Puncanya kerana hampir setiap hari mereka kini diancam oleh sekumpulan kera liar yang semakin mengganas sejak beberapa hari lepas.

Malah kelmarin, kera dari kawasan hutan berhampiran didapati bertindak di luar batasan apabila menceroboh masuk ke rumah penduduk dan cuba menggigit seorang bayi berusia 11 bulan di dalam buaian.

Mangsa, Jariah Mohd. Yunus, 53, berkata, pada kejadian pukul 8 pagi itu menyebabkan dia trauma untuk membuka tingkap rumahnya.

"Ketika itu saya sedang sibuk mengemas rumah manakala seorang lagi cucu berusia dua tahun berada di ruang tamu. Namun tanpa disedari muncul empat ekor kera dan seekor daripadanya melompat masuk ke dalam buaian dan cuba gigit kepala cucu saya yang tidur.

"Saya menjerit dan suami cuba menghalaunya tetapi gagal berbuat demikian," katanya.

Katanya, dia dan suami, Mohd. Ibrahim Junaidi, 64, kemudiannya nekad menarik cucu mereka keluar dari buaian dan membawa ke pekarangan rumah.

"Kera itu naik angin dan mula menyerang kami bertiga. Akibat marah, dua daripadanya naik atas bumbung rumah dan mula bertindak ganas," katanya.

Pada kejadian berasingan, seorang lagi penduduk, Dayang Abdullah, 53, juga pernah dikejar tiga ekor kera semasa menjemur pakaian.

"Saya ketakutan berlari masuk ke dalam rumah dan menutup semua tingkap. Kera terbabit kemudiannya marah dan mematahkan antena televisyen sebelum melarikan kain saya," katanya.

Pada kejadian kelmarin, penduduk kemudiannya menghubungi bomba namun kehadiran pasukan itu tidak menakutkan kera malah ada di antara mereka dikejar haiwan berkenaan.

Selepas beberapa jam, haiwan terbabit kemudiannya melarikan diri ke dalam hutan berhampiran

0 comments:

Post a Comment