23 February 2012

Jepun membenam Malaysia 4-0


Pemain Malaysia, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria menyekat gerakan pemain Jepun, Genki Haraguchi pada perlawanan Kelayakan Olimpik di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.



KUALA LUMPUR - Jepun mengotakan janjinya untuk menang besar apabila membenam Malaysia 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam saingan Kumpulan C kelayakan Olimpik, semalam.

Walaupun bermain dalam tekanan, skuad Samurai Biru tetap menampilkan permainan yang tersusun dengan tidak mempersiakan peluang gol.

Sebaliknya, kekalahan besar itu menunjukkan betapa masih banyak yang perlu diperbaiki oleh skuad bawah 23 tahun jika mahu memberikan saingan di pentas Asia.

Kerapuhan benteng pertahanan dan kurang kreativiti dalam mencipta gerakan gol menjadi punca kepada kekalahan besar Malaysia kepada Jepun.

Namun peminat perlu bersikap realistik dengan kekalahan besar kepada Jepun, yang mana ia membuktikan bola sepak negara memerlukan lebih banyak pendedahan pada masa depan.

Kekalahan semalam juga menjadikan Malaysia kekal tanpa sebarang mata dan sudah pasti akan menghuni tangga tercorot kumpulan, sekali pun jika mampu mencatat sebarang kemenangan ketika bertemu Syria dalam perlawanan terakhir nanti.

Kemenangan semalam adalah yang keempat buat Jepun dan terus memberikan saingan kepada Syria dalam usaha mengejar slot automatik ke London 2012 selaku juara kumpulan.

Skuad Takashi Sekizuka mendahului 2-0 pada babak pertama melalui jaringan Hiroki Sakai pada minit ke-35 dan Yuya Osako pada minit ke-45.

Samurai Biru mengukuhkan kedudukan dengan dua lagi gol pada babak kedua menerusi Genki Haraguchi (minit ke-55) dan Manabu Saito (minit ke-60).

Di hadapan 15,000 penonton, skuad Ong Kim Swee berjaya mengimbangi serangan bertali arus Jepun setakat minit ke-34, sebelum Jepun membuka tirai jaringan akibat kerapuhan benteng pertahanan negara.
Ketika barisan tengah negara sibuk merencana serangan, Jepun bijak merampas bola dan melakukan serangan balas pantas ketika bahagian pertahanan belum bersedia.

Hasilnya, pertahanan Jepun, Hiroki Sakai yang tidak dikawal mudah menolak masuk ke dalam gawang negara yang ternganga .

Pasukan pelawat yang amat memerlukan kemenangan besar semakin bersemangat selepas detik itu apabila menambah jaringan kedua 10 minit selepas itu melalui Yuya Osako yang melakukan tandukan menewaskan Khairul Fahmi yang sebelum itu cemerlang menyelamatkan dua percubaan awal Jepun.

Bermula separuh masa kedua, Malaysia bagaikan sudah hilang semangat untuk memberikan saingan dan Jepun sekali lagi terus menggempur kubu negara berpunca daripada sepakan silang Sakai, Genki Haraguchi mudah menghukum kesilapan Khairul Fahmi yang gagal menjangka dengan baik hantaran Sakai sebelum melepaskan rembatan separuh voli pada minit ke-55.

0 comments:

Post a Comment