7 February 2012

Inginkan kemenangan

PEMAIN-PEMAIN skuad Piala Thomas dan Uber negara gigih berlatih menjelang kempen kelayakan di Macau minggu depan.


FOKUS untuk menang. Itulah misi utama ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek menjelang cabaran pusingan kelayakan Piala Thomas di Macau pada 13 sehingga 19 Februari ini.

Rashid yang mengakui persiapan skuadnya berjalan dengan lancar, menuntut komitmen seratus peratus daripada barisan pemainnya apabila diundi bertemu dengan Korea Selatan dan Hong Kong.

Katanya, tekanan tetap dirasai tetapi apa yang lebih penting adalah komitmen daripada semua pemain bagi menjamin kemenangan sekali gus layak ke pusingan akhir di Wuhan, China Mei depan.

"Menang dan kalah adat permainan tetapi matlamat kami adalah untuk meraih kemenangan.

"Tekanan itu tetap ada tetapi buat masa ini semuanya berjalan lancar," katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Juara Bukit Kiara, semalam.

Jelasnya, beliau berharap pemain-pemain dapat menunjukkan aksi yang memberangsangkan pada ujian simulasi sebagai persediaan terakhir sebelum mengharungi pusingan kelayakan minggu depan.

Tambahnya, beliau mahu mempersiapkan pemain-pemainnya dari segi mutu permainan selain meningkatkan tahap keyakinan mereka.

"(Ujian simulasi) sangat penting buat semua pemain bagi meningkatkan (tahap) keyakinan mereka.

"Saya berharap tiada masalah akan berlaku dan pemain-pemain dapat memberikan yang terbaik pada ujian simulasi esok (hari ini), yang dianggap seperti perlawanan sebenar," ujarnya.

Pada ujian itu kelak, Datuk Lee Chong Wei akan menguji kekuatan Muhammad Hafiz Hashim manakala Liew Darren akan bertemu Mohd. Arif Abdul Latif.

Misbun Ramdan Misbun pula akan diuji menentang Chong Wei Feng. 

Sementara bagi perlawanan beregu pula, Goh V Shem-Teo Kok Siang akan bertemu Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Bagi skuad Piala Uber pula, Lydia Cheah akan bertemu Tew Gee Chong, Tee Jing Yi bertemu Kuan Kam Chung untuk acara perseorangan manakala beregu akan menyaksikan Chin Ee Hui-Wong Pei Tty bertemu Wong Fun Yin-Tan Aik Quan,

Menurut Rashid, daripada ujian itu kelak, dia mungkin dapat mengenal pasti kelemahan setiap pemain dan selepas itu akan cuba mengatasinya.

"Kita masih ada beberapa hari lagi untuk memantapkan persembahan pasukan dan saya yakin segala kelemahan yang ada dalam pasukan mampu diatasi.

"Pemain juga perlu mengekalkan komitmen kerana ia akan membantu mereka menampilkan rentak permainan yang lebih meyakinkan.

"Semua pemain tahu dan sedar dengan tanggungjawab masing-masing. Oleh itu mereka perlu sentiasa mengekalkan tahap keyakinan agar fokus mereka terhadap permainan tidak lari.

"Jika semua pemain memiliki keazaman seperti ini, saya yakin misi untuk melangkah ke pusingan akhir akan dapat direalisasikan," jelas Rashid.

0 comments:

Post a Comment