Keluarga fail saman
SHAH ALAM - Tiada ibu yang mahu melihat anaknya menderita sakit, apatah lagi jika nyawa menjadi taruhan.

Insiden lebih enam tahun lalu yang menyaksikan seorang bayi, Qaysara Sophea Mohd Rafezi (ketika itu berusia satu tahun satu bulan) nyaris maut akibat lebihan dos ubat yang dikatakan tersilap dikeluarkan hospital menjadi mimpi ngeri buat ibunya, Nurhayati Nordin.

Bercerita lanjut, Nurhayati, 37, berkata, ketika kejadian, anaknya menerima rawatan Pulmonary Tubercolosis (PTB) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk tempoh enam bulan seperti disarankan hospital.

“Kejadian berlaku pada bulan keempat semasa rawatan­ susulan dibuat, Qaysara diberi preskripsi ‘Rifampicin’ sebanyak 8.8 mililiter (ml) pada satu masa, saya dan suami merasakan amaun itu banyak dan meminta kepastian dua pegawai farmasi.

“Bagaimanapun kami dimaklumkan, amaun 8.8 ml adalah seperti yang ditetapkan farmasi, kami bertanya sama ada dos berkenaan boleh dibahagi dua kali sehari, tetapi mereka bertegas dos yang diberikan telah dibancuh menurut perkiraan farmasi dan tidak boleh dibahagikan,” katanya.

Nurhayati yang juga seorang peguam ketika kejadian itu mendakwa, pegawai farmasi terbabit turut menegaskan kuman penyakit anaknya tidak dapat dikawal sekiranya gagal memberikan ubat seperti dos yang ditetapkan.

“Kami menurut arahan yang diberikan, tetapi Qaysara terbangun dan mula muntah pada jam 3 pagi dan 6 pagi. Ketika itu muka Qaysara mula membengkak, tidak buang air kecil langsung manakala badan, air mata dan peluhnya bertukar berwarna merah.

“Hasil siasatan pihak hospital mendapati, Qaysara mengalami keracunan Rifampicin akibat terlebih dos,” katanya.

Dos yang sepatutnya diberikan adalah sebanyak 0.88 ml sahaja bukan 8.8 ml seperti yang disarankan. Doktor pakar maklumkan, keadaan Qaysara kritikal dan tiada antidot bagi keracunan­ Rifampicin menyebabkan dia dimasukkan ke High Dependancy Unit (HDU) dan melalui proses pemulihan serta pemantauan hospital sehingga keadaan kembali stabil.

Nurhayati berkata, pengurusan HTAR pernah membuat permohonan maaf atas kesilapan yang berlaku. Tuntutan menurutnya, telah dibuat kepada pihak yang berkenaan dan Mesyuarat Jawatankuasa Penyiasatan Bebas sudah dijalankan.

“Makluman mengenai tawaran penyelesaian pernah dikeluarkan Bahagian Amalan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia, namun masih tiada sebarang tindakan susulan sehinggalah saman difailkan terhadap kementerian demi menjalankan tanggungjawab mendapatkan keadilan bagi Qaysara.

“Alhamdulillah, Qaysara selamat. Bagaimanapun pihak berkenaan perlu bertanggungjawab atas kejadian yang berlaku kerana kesan kegagalan menjalankan kewajipan­ berjaga-jaga dan prosedur yang selamat untuk pesakit yang akan menyebabkan kemudaratan besar kepada orang ramai secara keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, peguam kes berkenaan, Maznah Kamaruddin berkata, proses pengurusan kes selanjutnya akan dijalankan 27 Mac ini dan perbicaraan penuh kes dijangka bermula 29 Oktober ini.