1 February 2012

Heroin bernilai RM1j dirampas


JALALUDDIN Abdul Rahman (tiga dari kiri) menunjukkan pistol bersama peluru, dadah jenis heroin dan wang tunai yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Rantau Panjang, Kelantan, kelmarin. - UTUSAN/ROSNI MASRI KOTA BHARU 31 Jan. - Polis Kelantan menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah apabila merampas satu kilogram heroin bernilai RM1 juta selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Bakat, Rantau Panjang awal pagi semalam.Rampasan pada pukul 1.30 pagi itu disifatkan yang terbesar dalam tempoh 10 tahun.

Dalam serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota dan pegawai narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas itu, polis turut menahan tiga lelaki berusia 29 hingga 39 tahun, termasuk seorang bekas anggota tentera.

Ketua Polis Negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya turut merampas sepucuk pistol jenis 'Smith & Wesson', empat butir peluru hidup, satu kelongsong peluru dan wang tunai berjumlah RM9,900 termasuk mata wang Thailand bernilai RM1,700 dipercayai hasil jualan dadah.

Beliau berkata, ketika serbuan, seorang daripada anggota sindiket terbabit cuba mengeluarkan pistol untuk mempertahankan diri, tetapi cubaannya itu berjaya dipatahkan oleh pihak polis.

"Polis sedang mengesan saki baki kumpulan ini tidak kira di mana mereka berada. Dalam serbuan di stor tempat simpanan barang di belakang rumah itu, polis menemui 320 botol plastik lutsinar berisi heroin yang beratnya kira-kira satu kilogram.

"Dadah jenis heroin ini dipercayai untuk pasaran di negeri ini dan Terengganu. Dengan tertangkapnya ketiga-tiga lelaki ini kita berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah jenis heroin di kedua-dua negeri," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

Jalaluddin berkata, siasatan awal mendapati, seorang daripada suspek memiliki lima rekod rekod kesalahan dadah sejak 2003 manakala seorang lagi pernah ditahan pada 1995.

Menurut beliau, kumpulan ini bersedia untuk menggempur musuh mereka pada bila-bila masa sekiranya kegiatan haram mereka dihalang.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

0 comments:

Post a Comment