4 February 2012

Hatrik Van Persie ketuai pesta gol Arsenal



PENYERANG Arsenal, Robin Van Persie melambung selepas diterjah pertahanan Blackburn, Gael Givet dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, London semalam. Arsenal berpesta gol 7-1. – REUTERS



LONDON – Robin van Persie menjaringkan hatrik untuk memintas rekod jaringan terbanyak Dennis Bergkamp dan membantu kelabnya, Arsenal berpesta gol 7-1 ke atas Blackburn Rovers semalam.

Bintang penyerang berusia 28 tahun itu telah menjaringkan 123 gol bersama Arsenal setakat ini, dan membantu The Gunners mencatat kemenangan pertama di Stadium Emirates bagi tahun 2012.

Arsenal tidak menunggu lama untuk berada di depan selepas Van Persie mudah menolak masuk hantaran lintang Theo Walcott dalam petak penalti selepas pertahanan Blackburn gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Bagaimanapun Blackburn mengambil masa setengah jam untuk menyamakan kedudukan apabila pemain tengah mereka, Morten Gamst Pedersen berjaya menyempurnakan sepakan percuma menewaskan penjaga gol, Wojciech Szczesny.

Gol Blackburn itu seakan menjolok sarang tebuan dengan menyaksikan Arsenal kembali di landasan kemenangan apabila berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh dua minit untuk mendahului separuh masa pertama 3-1.

Van Persie memperoleh gol kedua peribadinya pada minit ke-39 dan pemain antarabangsa Belanda itu sekali lagi mendapat umpanan daripada Walcott untuk melakukan percubaan dari jarak dekat.

Seminit kemudian Arsenal terus mengukuhkan cengkaman apabila Alex Oxlade-Chamberlain menjaringkan gol liga pertamanya musim ini selepas menerima hantaran Van Persie sebelum memperdayakan Paul Robinson.
Luka Blackburn bertambah parah apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanan mereka Gael Givet dilayangkan kad merah kerana terjahan kasar ke atas Van Persie pada minit ke-42.

Tujuh minit selepas separuh masa kedua bermula, Arsenal menambah gol keempat, kali ini melalui Mikel Arteta yang mengambil kesempatan di atas kelemahan pertahanan lawan ketika sepakan sudut.

Blackburn terus mempamerkan aksi longlai apabila mereka dibolosi buat kali kelima pada minit ke-55 selepas Oxlade-Chamberlain menjaringkan gol keduanya dengan menyempurnakan hantaran pendek Walcott dari sebelah kanan.

Arsenal langsung tidak menunjukkan tanda simpati kepada lawannya apabila Van Persie melakukan hatrik pada minit ke-62 untuk menjadikan kedudukan 6-1 hasil rembatan kaki kanan selepas menerima hantaran daripada Francis Coquelin.

Pemain legenda Arsenal, Thierry Henry turut tidak melepaskan peluang untuk meletakkan dirinya sebagai penjaring apabila menyumbat gol ketujuh pada minit-minit akhir perlawanan walaupun dia hanya hadir sebagai pemain gantian.

0 comments:

Post a Comment