3 February 2012

FIFA mahu laporan penuh rusuhan di Mesir


KERATAN Kosmo! semalam.



LONDON - Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dilaporkan meminta laporan penuh daripada pihak berkuasa Mesir ekoran rusuhan yang berlaku pada perlawanan bola sepak yang menyebabkan kematian seramai 74 orang di Port Said, kelmarin.

Sekurang-kurangnya, seramai 1,000 orang mengalami kecederaan apabila penonton menceroboh masuk ke dalam padang selepas pasukan tuan rumah, Al-Masry menewaskan kelab yang paling hebat di Afrika, Al-Ahly.

Kebanyakkan penyokong bola sepak yang mati kerana terpijak di dalam kesesakan orang ramai yang sedang panik, manakala ada juga yang terjatuh atau dicampak dari tebing.

Insiden itu merupakan keganasan yang paling buruk pernah berlaku dalam sejarah bola sepak di Mesir dan ahli lembaga persatuan bola sepak (FA) tempatan telah dipecat oleh Perdana Menteri, Kamal al-Ganzouri.

Presiden FIFA, Sepp Blatter menulis surat untuk mengucapkan takziah dan sokongan kepada Ketua FA Mesir, Samer Zaher berhubung kejadian terbabit.

"Saya berharap dapat menyertai anda dan semua penduduk Mesir yang sedang berkabung terhadap kematian ramai peminat bola sepak ketika perlawanan bola sepak di Port Said.

"Hari ini merupakan hari yang suram untuk bola sepak dan kita perlu mengambil langkah untuk memastikan bencana itu tidak berlaku lagi. 

"Sukan bola sepak bertujuan untuk kebaikan dan kita tidak sepatutnya ia dicemari oleh orang-orang yang mempunyai niat yang jahat," kata Blatter dalam surat tersebut.

Tambahnya, selepas perbincangan dilakukan pada pagi semalam, Blatter kini menantikan berita lanjutan daripada Mesir mengenai tragedi tersebut. 

Kelmarin, segelintir rakyat Mesir terpaksa bertembung dengan pasukan keselamatan ketika melakukan protes terhadap kerajaan yang diterajui oleh tentera kerana gagal mencegah keganasan yang berlaku selepas kejatuhan bekas Presiden, Hosni Mubarak tahun lalu. 

Sesetengah pihak juga melihat keganasan itu merupakan sebahagian daripada perancangan untuk memprovokasi penyokong Al-Ahly yang mempunyai pengalaman untuk berdepan dengan pasukan polis menimbulkan kekecohan pada perlawanan bola sepak itu.

Majlis Tertinggi Angkatan Tentera yang dipimpin oleh menteri pertahanan ketika era pemerintahan Mubarak, Fil Marsyal Mohamed Hussien Tantawi berikrar untuk mencari pesalah dan mengisytiharkan tiga hari untuk hari perkabungan. 

FA Mesir berkata, semua perlawanan dalam liga perdana ditangguhkan untuk tempoh masa yang belum dipastikan. Kelab Al-Ahly pula, digantung daripada semua aktiviti dan turut mengumumkan tiga hari berkabung.

0 comments:

Post a Comment