18 February 2012

Empat lelaki China ditahan setelah bunuh 40 kura-kura

Gambar Hiasan
ZIMBABWE - Empat lelaki China ditahan oleh penguat kuasa Zimbabwe di Bikita kerana membunuh lebih 40 ekor kura-kura jenis Bell's Hinged, spesis yang terancam di negara benua Afrika itu.

Empat yang ditahan ialah Zhang Hong Yuan, Chen Caijan, Guibin Lin dan Shi Jiahua.

Keempat-empat lelaki itu yang ditahan berhampiran Gambakwe Village, Bikita mengakui melakukan kekejaman ke atas haiwan, dipercayai dimakan oleh mereka.

Menurut satu kenyataan Pengerusi Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan, Ed Lance, warganegara China itu ditahan dalam serbuan  bersama pihak polis, Pihak Berkuasa Pengurusan Taman Negara dan Hidupan Liar dan Unit Antipemburuan Haram.

"Daripada satu hasil serbuan di rumah warga China terbabit, kami telah menemui sekurang-kurangnya 40 cangkerang kura-kura spesis terancam," katanya.

Mereka juga menemui 13 kura-kura hidup yang disimpan dalam dram keluli tanpa air atau makanan.

Menurut penduduk Bikita, yang terletak di tenggara Zimbabwe, reptilia itu akan direbus hidup-hidup dalam air mendidih untuk memisahkan daging dari cangkerangnya.

Dalam pada itu, daging kura-kura turut ditemui di tempat kejadian.

"Hasil siasatan awal mendapati, mereka memperolehi kura-kura spesis ini daripada penduduk kampung untuk kegunaan peribadi," katanya.

Menurutnya lagi, empat lelaki tersebut berada di Zimbabwe tanpa sebarang dokumen imigresen yang sah.

Mereka menunggu untuk dihantar pulang.

"Mereka telah mencabuli Akta Kebajikan Haiwan, kami bimbang dengan peningkatan kes-kes penganiayaan terhadap semua binatang di Zimbabwe.

"Selaras dengan mandat kami, kami bersungguh-sungguh akan memburu dan mendakwa mana-mana individu yang didapati bersalah melanggar Akta Pencegahan Penganiayaan Terhadap Haiwan," katanya.

0 comments:

Post a Comment