Dua rakan dituduh merompak berkumpulan
GEORGETOWN- Dua rakan menghadapi tuduhan bersama iaitu melakukan rompakan berkumpulan dengan menyamun barang kemas dan wang tunai milik seorang lelaki.

Ungku Suleiman Ungku Ibrahim, 48, dan Mohd Riddwan Shuaib, 26, serta seorang lagi yang masih bebas dituduh merompak Mohd Hazrul Kursaini Mohd Kassim kira-kira jam 12 tengah hari, 14 November 2011.
Mengikut pertuduhan, mereka melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Pahang dekat sini.

Mereka menggunakan pisau dan sebatang kayu untuk menakutkan mangsa serta boleh mendatangkan kecederaan parah.

Kedua-duanya mengangguk kepala ketika pertuduhan dibacakan dan mengaku bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azizah Jaafar menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama. Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Bagaimanapun, Majistret, Noor Aini Yusof menetapkan jaminan masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan 10 Februari jatuhkan hukuman.