2 February 2012

Dua pengedar dadah di Gerik cedera parah kerana kereta dinaiki terbabas melanggar penghadang jalan


ABD, Manab Bahrum (tengah) menunjukkan 54 ketul ganja yang dijumpai dalam sebuah kereta yang terbabas di Kilometer 47.8, Jalan Kuala Kangsar-Gerik pada sidang akhbar di IPD Daerah Gerik, Perak, semalam.


GERIK 1 Feb. - Dua pengedar dadah bernasib malang apabila mereka cedera parah setelah kereta dinaiki terbabas melanggar penghadang jalan sebelum terhumban ke dalam parit di Kilometer 47.8, Jalan Kuala Kangsar-Gerik, Lenggong dekat sini kelmarin.

Nasib mereka bertambah malang apabila dicekup oleh polis yang pada asalnya datang ke tempat kejadian untuk membantu mangsa kemalangan jalan raya itu.

Ini kerana, polis menemui ketulan mampat ganja seberat 54 kilogram ketika memeriksa but kenderaan tersebut.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Abd. Manab Bahrum berkata, dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, sepasukan anggota polis diketuai Ketua Balai Polis Lenggong, Inspektor Mohamad Faisal Sarip bergegas ke lokasi kejadian setelah dimaklumkan mengenai kemalangan jalan raya itu.

"Di tempat kejadian, polis menemui dua lelaki cedera parah dan tersepit dalam kereta tersebut.

"Bagaimanapun, setelah diperiksa di bahagian belakang kereta, polis menemui dua buah beg plastik kanvas berisi 54 ketulan mampat berbalut plastik lutsinar berisi ganja dianggarkan seberat 54 kilogram yang bernilai RM205,000 di pasaran," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Abd. Manab, siasatan awal mendapati dadah tersebut diperoleh dari negara jiran untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang kerana kedua-dua suspek berasal dari Kuala Lumpur.

"Suspek pertama berusia 40 tahun, beralamat di Perumahan Awam Jinjang dan bekerja sebagai penarik kereta manakala rakannya berusia 34 tahun dari Taman Koperasi Polis 2 bekerja sebagai mak andam.

"Suspek pertama memiliki lima rekod jenayah termasuk tiga melibatkan dadah. Bagaimanapun, rakannya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau," ujarnya.

Abd. Manab berkata, kedua-dua suspek yang sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh ditahan reman selama seminggu sehingga 6 Februari ini.

"Keadaan mereka kini stabil. Mereka cuma patah-patah sahaja dan tidak mengalami kecederaan serius," jelasnya.

0 comments:

Post a Comment