17 February 2012

Dirinya teraniaya

  
  • Foto Mohd Yunus Lasaleh
  • Foto
Pelari tonggak kuartet emas 4X400m Sukan SEA buat laporan polis cari keadilan

DEMI menegakkan kebenaran, atlit kuartet 4x400 meter lelaki yang didapati positif bahan terlarang ketika Sukan SEA Indonesia tahun lalu, Mohd Yunus Lasaleh tampil membuat laporan polis di Balai Polis Seri Petaling, bagi membuktikan dia teraniaya, semalam. 
 
Yunus berkata, laporan dikemukakan adalah berkaitan ubatan serta suntikan yang diarah diambil oleh seorang doktor dari Bulgaria yang didakwa dibawa Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim tanpa pengetahuan Institut Sukan Negara (ISN) ketika menjalani latihan pusat di Miri dan Brunei, 23 September hingga 15 Oktober tahun lalu. 
 
“Saya rasa seperti dianiaya dan saya kecewa kerana saya berusaha bersungguh-sungguh tetapi ada orang lain pula yang cuba menganiaya. Laporan ini adalah untuk membersihkan nama saya.

“Saya bersedia jika perkara ini dibawa ke mahkamah demi menuntut keadilan dan saya mahu ia menjadi pengajaran kepada semua atlit supaya lebih berhati-hati,” katanya ketika ditemui media selepas menghabiskan masa hampir dua jam di balai berkenaan.

Antara yang hadir menemani Yunus ialah rakan kuartetnya yang meraih pingat emas di Sukan SEA, Schezuan Ahmad Rosely, Mohd Jironi Riduan (800 meter lelaki) dan jurulatihnya, K Jayabalan.

Ditanya berapa kerap dia diminta mengambil ubat-ubatan itu, Yunus berkata, dia menerima enam hingga tujuh biji pil dalam bungkusan plastik yang didakwa vitamin dan B Kompleks setiap hari ketika menjalani latihan.
“Yang saya ragu ialah dua suntikan di punggung ketika di Miri, suntikan itu berwarna putih dan berbeza daripada kebiasaan iaitu berwarna merah. Ia memang menyakitkan sehingga saya terpaksa tidur dalam keadaan meniarap.

“Ketika menjalani latihan di Brunei kira-kira dua minggu, setiap pagi saya menerima suntikan berwarna jernih daripada doktor berkenaan, saya tidak mengesyaki apa-apa kerana dia meyakinkan saya ia untuk meningkatkan prestasi,” katanya.

0 comments:

Post a Comment