parah
KOTA BHARU - Angkara dendam lama, seorang duda cedera parah dipercayai dihentak dengan ulu lesung batu bertubi-tubi oleh adik tirinya dalam kejadian di rumahnya di Kampung Bagus, Rantau Panjang, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa Mukhtar Alwi Che Ismail, 43, cedera parah di kepala dan muka serta menerima 23 jahitan di kepala kanan akibat hentakan tersebut.

Mukhtar yang tidak bekerja itu menerima rawatan Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II dan kini masih dalam keadaan separuh sedar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berada di dalam bilik air di rumahnya untuk mengambil wuduk sebelum didatangi adik tirinya yang dipercayai kurang siuman.

Beliau berkata, mangsa kemudian dihentak bertubi-tubi dengan ulu lesung batu sebelum pengsan dalam keadaan berlumuran darah.

“Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Pasir Mas sebelum dirujuk ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu, polis menahan suspek yang juga bekas anggota polis komando 69 untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dengan menggunakan senjata merbahaya.

Sementara itu, adik mangsa, Nafsiah, 39, berkata, sebelum kejadian adik tirinya yang berusia 20-an itu datang ke rumah mangsa dan bertindak memukul abang kandungnya sehingga berlumuran darah.

Katanya, kejadian itu diketahui selepas ibunya, Asmah Abdullah, 60, menghubunginya setelah terkejut apabila mendengar jeritan Mukhtar meminta tolong.

“Sebaik selesai menunaikan solat Mahgrib, emak yang tinggal di rumah bersebelahan bergegas untuk melihat kejadian sebenar dan terkejut apabila mendapati abang berlumuran darah sambil mengerang kesakitan,” katanya ketika ditemui di HRPZ II semalam.

Nafsiah berkata, kejadian berkenaan kemungkinan berpunca perselisihan faham yang lama antara kedua-duanya yang sebelum ini pernah bergaduh.

Dia berkata, berikutan kecederaan yang dialaminya itu abangnya menerima beberapa jahitan di kepala dan mulut.