Tengku Adnan Tengku Mansor
SHAH ALAM - Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menolak cadangan agar diadakan debat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak ada apa yang perlu untuk didebatkan.

Sebaliknya, Tengku Adnan menawarkan diri untuk mengaturkan satu debat dengan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Malam tadi, Anwar mengajak Najib agar berdebat dengan beliau berhubung isu Palestin.

Malah semalam, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail  telah meminta Tengku Adnan, yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), untuk merintis jalan bagi mengadakan perbahasan antara Perdana Menteri dengan Anwar.

Pendirian itu dibuat susulan debat bersejarah antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Bercakap kepada portal Umno Online, Tengku Adnan berkata, Pakatan Rakyat sengaja mewujudkan provokasi berdasarkan kepada perbahasan yang diadakan sebelum ini selain cuba untuk mempolitikkan usaha kerajaan dan kemudian membuat fitnah ke atas para pemimpin BN.

“Saya tidak nampak sebarang keperluan untuk debat diadakan antara Datuk Seri Najib dan Anwar, tetapi sekiranya Anwar mahu berdebat saya boleh mengaturkan untuk beliau berbahas dengan bekas pembantunya sendiri iaitu Mohd Saiful,” katanya.

Kata beliau lagi: “Apa yang mahu didebatkan antara Perdana Menteri dengan Anwar kerana pembangkang hanya akan menjadikan ia sebagai medan politik semata-mata dan bukannya membincangkan apa yang patut dibicarakan kerana pakatan pembangkang sendiri tidak mempunyai tujuan atau sebab munasabah sehingga debat perlu diwujudkan."

“Kalau mahu berdebat pun, bukan Perdana Menteri lawan Anwar tambahan pula, Datuk Seri Najib sebagai pemimpin negara tidak mempunyai masa untuk melayan tuntutan sedemikian kerana sebagai pemimpin yang bertanggungjawab beliau akan menumpukan sepenuh perhatian kepada kesejahteraan dan keselesaan rakyat dan negara,” kata Ahli Parlimen Putrajaya ini.

Malah menurut beliau, debat antara  Soi Lek dan Guan Eng diadakan untuk membincangkan permasalahan dalam masyarakat Cina di negara ini.

“DAP menuduh MCA dengan pelbagai tuduhan termasuklah kononnya MCA ‘dicucuk hidung’ oleh Umno dan tidak dapat bersuara dalam BN apatah lagi untuk memainkan peranan kepada masyarakat Cina sedangkan realitinya tidak sedemikian dan debat tersebut telah dapat menerangkan kepada masyarakat Cina sendiri tentang perjuangan MCA.

“Berkaitan masyarakat Melayu pula tidak ada apa yang mahu didebatkan kerana kita mempunyai Umno yang sentiasa menjaga kepentingan dan hak bangsa Melayu dengan terus memastikan agama Islam ditegakkan," katanya sambila menambah, "ini telah dibuktikan sejak daripada Umno ditubuhkan, berjuang untuk kemerdekaan dan kemudiannya membawa kemajuan kepada masayarakat keseluruhan."

Jelas beliau lagi, berdasarkan kepada perbahasan antara MCA dan DAP juga dapat dilihat bagaimana sandiwara pembangkang yang gemar mempolitikkan isu tertentu dan menyimpang daripada landasan perbincangan.

“Seharusnya mereka jadikan ia sebagai platform untuk kepentingan dan kemajuan tetapi sebaliknya berlaku sebagaimana Guan Eng telah bertanya kenapa tidak ada pemimpin Umno yang dibawa kemuka pengadilan berbanding pemimpin MCA yang dibicarakan sedangkan hakikatnya ia tidak sebagaimana yang mereka tuduh.”