2 February 2012

Bilik hos bomba di pusat beli-belah jadi stor filem lucah

SUBANG JAYA 1 Feb.- Sebuah bilik hos bomba di pusat beli-belah di sini sebelum ini dianggap misteri kerana sering dikunci dan jika dibuka kelihatan kelibat beberapa lelaki yang mencurigakan.

Namun semalam, Bahagian Kawalan Penapisan Filem, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Selangor berjaya membongkar misteri itu apabila menemui sejumlah cakera padat digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) lucah selepas memecah pintu bilik hos bomba berkenaan.

Ketua Bahagian Kawalan Penapisan Filem KDN Cawangan Selangor, Noor Aziah Abdullah berkata, dalam operasi pukul 4 petang itu, pihaknya sebelum ini mendapat laporan mengenai aktiviti penjualan DVD dan VCD haram di pusat beli-belah tersebut.

Menurut beliau, berikutan itu, pemeriksaan mengejut bersama Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dilakukan.

"Dalam pemeriksaan di dua buah premis, kita menemui 5,000 keping DVD dan VCD lucah serta 2,000 cakera pelbagai filem yang tidak mempunyai Sijil Perakuan B, kesemuanya bernilai lebih RM90,000.

"Pemeriksaan lanjut kemudian telah membongkar rahsia sebuah bilik hos bomba yang dijadikan stor menyimpan filem lucah," katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, dalam serbuan itu, dua lelaki ditahan dan salah seorang daripadanya dikesan memiliki rekod lampau bagi kesalahan yang sama.

Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kerana menjual DVD dan VCD yang tidak mempunyai Sijil Perakuan B dan filem lucah.

0 comments:

Post a Comment