4 February 2012

Bekas wartawan mati terjerut

KUALA LUMPUR 3 Feb. - Seorang bekas wartawan wanita di sebuah akhbar berbahasa Inggeris ditemui mati terjerut di rumahnya di Jalan Taman Bukit Cheras di sini hari ini.

Mayat Yap Siew Fan, 49, ditemui tergantung dengan sehelai kain di dalam bilik tidur oleh suaminya pada pukul 7 pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, siasatan awal mendapati, kematian mangsa yang kini bekerja di sebuah kilang percetakan tidak mempunyai unsur jenayah.

"Semasa kejadian, mangsa tinggal sendirian dalam bilik dan suaminya yang baru pulang bekerja terkejut mendapati isterinya mati dalam keadaan tergantung," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Menurut Khairi, siasatan mendapati wanita tersebut menghidap sakit mental dan mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sejak 2006.

Katanya, mayat wanita itu yang mempunyai dua orang anak perempuan dibawa ke PPUKM untuk bedah siasat.

0 comments:

Post a Comment