4 February 2012

Beckham 'dibuang padang'



DAVID Beckham meluangkan masa menonton perlawanan bola keranjang di Los Angeles bersama isteri, Victoria dan anak mereka, Romeo (kiri) serta Cruz.



DAVID Beckham membuktikan bahawa cintanya terhadap bola sepak memang terlalu mendalam, hinggakan dia dilayangkan kad merah meskipun hanya ketika menonton perlawanan kanak-kanak.

Bekas bintang tengah Manchester United itu menceritakan insiden tersebut dalam sebuah rancangan temu bual televisyen bersama Jonathan Ross di ITV1 Amerika Syarikat semalam, sambil turut mendedahkan, dia dan isteri, Victoria berharap untuk menambah seorang atau dua lagi anak. 

Menceritakan bagaimana dia boleh dilayangkan kad merah, bekas kapten England itu berkata, dia pergi menonton perlawanan bola sepak melibatkan anaknya Cruz di Los Angeles.

"Saya menonton budak-budak bermain. Perlawanan itu sebenarnya melihatkan pasukan Romeo (abang Cruz), tetapi Cruz turut bermain. Ada sepakan penalti diberikan, ia tidak mengapa.. tetapi kemudian saya tengok ada budak berusia 7 tahun dibuang padang.

"Saya rasa tidak seronok melihatnya, saya cakap kepada pengadil, janganlah begitu, dia baru budak kecil 7 tahun, awak tak boleh buang dia dari padang. Pengadil itu kemudian memandang ke arah saya dan berkata, ya saya boleh. Saya membalas balik, tidak awak tidak boleh, dia baru 7 tahun.

"Dia (pengadil) tiba-tiba datang ke arah saya dan melayangkan kad merah. 

"Dia mengarahkan saya supaya meninggalkan kawasan padang. Pintu pagar hanya terletak kira-kira 20 ela dari tempat mereka bermain, jadi saya hanya tunggu di sana sehingga anak-anak selesai bermain,'' cerita Beckham. 

Beckham, yang baru menandatangani kontrak baru bersama kelabnya, LA Galaxy telah beraksi dalam pelbagai kejohanan tertinggi, baik di peringkat kelab bersama Manchester United dan Real Madrid, mahupun bersama skuad kebangsaan dengan mengetuai England pada Piala Dunia serta Kejohanan Eropah.
Bapa kepada empat orang anak itu kini amat terdesak untuk menyarung jersi Great Britain ke Sukan Olimpik London, Ogos ini.

"Saya rasa masih cergas, masih sihat dan boleh memberi sumbangan. Selagi saya rasa saya mampu bermain, saya akan terus bermain dan saya tidak tahu bila saya akan berhenti. 

"Saya suka bermain bola sepak, kalau saya tidak lagi menikmati permainan, sudah tentu saya akan berhenti,'' ujar Beckham lagi. 

David Beckham antara selebriti yang ditemubual dalam rancangan popular Jonathan Ross Show yang disiarkan di ITV1 semalam bersama penyanyi Jessie J dan pelawak terkenal, Kevin Bridges.

0 comments:

Post a Comment