18 February 2012

Anak Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) maut setelah menghantar ibunya pulang

PONTIAN: Kegembiraan seorang penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bertukar pilu apabila anak yang menghantarnya pulang maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya dalam kemalangan di Kilometer 45.7, Jalan Johor Bahru-Pontian, berhampiran Pusat Giat Mara, Pekan Nanas, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi, Rozaimah Mohd Badawi, 24, jurutera di kilang Shimano, Pekan Nanas, di sini, meninggal dunia di lokasi apabila kereta Toyota SE dipandunya bertembung dengan sebuah Proton Wira dari arah bertentangan, sejurus selepas menghantar ibunya Rosnah Bedu, 47, pulang ke rumah di Lorong Warisan Batu 29, Pengkalan Raja, satu kilometer dari tempat kejadian.

Rosnah ketika ditemui di rumah mayat Hospital Pontian berkata, dia tidak menyangka kelakuan arwah yang beriya-iya menghalangnya menaiki kereta ke tempat kerja sama adalah petanda sebelum meninggal dunia.

Sebelum kejadian, katanya, arwah menghantarnya mengambil wang BR1M di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini, sebelum menghantarnya pulang kerana arwah ingin ke tempat kerja.

“Patutlah arwah beria-ia menghalang saya mengikutnya ke tempat kerja, rupa-rupanya petanda dia meninggalkan saya selama-lamanya.

“Saya masih terbayang wajah arwah menghantar saya mengambil wang BR1M dan selepas itu menghantar saya pulang, sedangkan saya sepatutnya pergi ke tempat kerja bersama arwah.

“Bagaimanapun, dia menghalang saya menaiki keretanya, menyebabkan saya berehat seketika di dalam rumah sebelum tiba-tiba seorang penduduk memberitahu arwah terbabit kemalangan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment