23 February 2012

Anak gadis jadi mangsa nafsu upacara penyerahan

Petikan : Metro
"Mengenai salah laku seks ketua ajaran sesat itu dan amalannya menari dengan wanita, Liza berkata dia mendapat maklumat itu daripada orang kanan kumpulan berkenaan, malah mempunyai bukti mengenainya." - Persoalannya kenapa masih ramai lagi wanita boleh tertipu? 
KUALA LUMPUR: “Dia banyak melakukan maksiat. Bukan saja menari dengan pengikut wanita penuh keseronokan tapi pernah mencabul serta merogol anak seorang pengikut kanannya.

“Setahu saya, mangsa nafsu serakahnya itu sanggup menyerahkan tubuh mereka dalam upacara dipanggil acara penyerahan.”

Demikian kata wanita dikenali sebagai Liza ketika mendedahkan salah laku dan penyelewengan ketua satu kumpulan ajaran sesat yang diikutinya hampir empat tahun lalu dan masih aktif di beberapa lokasi terutama di Selangor dan Perak.

Wanita berusia 30-an itu berkata, dia meninggalkan kumpulan ajaran sesat berkenaan selepas mendapati terlalu banyak penyelewengan dan amalan bertentangan ajaran Islam diajarkan ketuanya.

(Gambar: TERPESONG...bekas pengikut menceritakan pengalaman selama mengikuti ajaran sebuah kumpulan ajaran songsang kepada wartawan Harian Metro.)

Kata Liza, lelaki berusia 50-an itu berselindung di sebalik sifat warak dan mencampuradukkan amalan songsang dalam majlis zikir yang diajar kepada pengikutny“Pada setiap malam Selasa dan Jumaat dikenali sebagai malam tawajjuh (berdepan), kami berzikir dalam gelap dengan mata dipejam rapat.

“Muka ahli perempuan ditutup dengan kain telekung manakala ahli lelaki menutup muka dengan serban sambil berniat kepada syeikh (ketua) ajaran itu,” katanya.

Menurutnya, upacara aneh itu diadakan di markas di pinggir ibu kota secara beramai-ramai dalam keadaan taksub dan separa sedar, disusuli dengan amalan tawajjuh iaitu berdepan dengan syeikh oleh seorang ahli yang ditugaskan dengan cara meletakkan tangannya di kepala ahli lain.

“Amalan itu memang pelik, tetapi pada peringkat awal saya tidak mengesyaki apa-apa, sehinggalah semakin lama saya menyertainya bermacam-macam lagi yang saya tahu, termasuk tidak melakukan solat Jumaat di kalangan lelaki.

“Mereka beri alasan di kawasan markas itu tidak mencukupi 40 orang (jemaah), tidak wajib kepada mereka mengerjakan solat Jumaat.

“Jadi, ketika umat Islam mengerjakan ibadat mingguan itu, mereka tidur. Jika berada di khalayak umum, mereka berlakon mengikuti solat Jumaat, namun sebaik selesai, mereka mendirikan solat lain kerana beranggapan solat Jumaat itu tidak sah,” katanya.

Liza yang juga seorang kakitangan awam berkata, dia tertarik menyertai kumpulan itu bersama suami sebelum ini kerana melihat kepada aspek luaran ahli dan ketua ajaran berkenaan.

“Memang dari luar mereka kelihatan alim, membaca kitab dan berzikir. Sebab itu saya tidak membantah pelawaan suami untuk menyertai kumpulan mereka.

“Saya masih ingat lagi, pada hari pertama ke markas itu iaitu selepas Asar pada pertengahan 2006 saya dikehendaki mandi sunat taubat dan mengerjakan solat sunat taubat. Saya pelik, kenapa ada solat sunat selepas Asar kerana setahu saya tiada solat sunat selepas waktu itu.

“Pada malamnya pula solat Isyak dilewatkan kepada jam 9.30 malam, kemudian saya dibaiah (ikrar) oleh ketua. Saya dikehendaki mengikuti lafaznya supaya sumpah setia kepada ajaran berkenaan.

“Selepas itu semua lampu dipadamkan, mata dipejam dan muka ditutup untuk melafazkan zikir beberapa ratus kali, kemudian datanglah seorang ahli meletakkan tangannya di kepala setiap ahli melakukan tawajjuh.

“Dalam majlis itu dianggarkan 50 ahli, lelaki dan perempuan terdiri pelbagai lapisan usia. Ada antara mereka datang dari jauh,” katanya.

Menurutnya, ahli kumpulan ajaran itu juga diberi minum sejenis air supaya mereka terus taat dan taksub kepada tuan guru.

“Selepas tahu banyak perkara yang tidak betul, saya nekad meninggalkan kumpulan itu, tetapi saya takut kerana ada antara pengikutnya memburu saya supaya kembali kepada mereka,” katanya.

Mengenai salah laku seks ketua ajaran sesat itu dan amalannya menari dengan wanita, Liza berkata dia mendapat maklumat itu daripada orang kanan kumpulan berkenaan, malah mempunyai bukti mengenainya.

“Setahu saya, wanita termasuk anak gadis menjadi mangsa nafsu serakahnya apabila mereka ingin melakukan upacara penyerahan, kerana ada antara mereka menyerah maruah diri, selain barangan yang berharga.

“Ketika inilah ketua mengambil kesempatan. Kemudian, barulah seseorang itu boleh menyempurnakan amalan suluk (menyepikan diri) di bilik kecil yang tersedia di markas itu.

“Saya sudah membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengenai semua aktiviti dan amalan dalam kumpulan itu serta menyerahkan bukti yang saya ada, namun sehingga kini belum ada tindakan diambil,” katanya

0 comments:

Post a Comment