5 February 2012

Anak dan bapa bersanding serentak

SUNGAI BULOH: Cuti umum sempena Maulidur Rasul, semalam, tidak hanya memberi makna besar kepada umat Islam tempatan apabila meraikan hari keputeraan Nabi Muhammad s.a.w, sebaliknya kegembiraan berganda kepada sebuah keluarga di Kampung Kubu Gajah, di sini.

Keluarga itu mengambil berkat tanggal 12 Rabiulawal untuk meraikan bukan sepasang pengantin baru, bahkan dua iaitu anak dan bapa yang disandingkan serentak di hadapan 1,000 jemputan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Jaras, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor.

Malah, tertera di kad undangan perkahwinan, tuan rumah diwakili Nur’ Aziyan Zainal Abidin, 33, yang juga anak sulung dalam keluarga itu mengundang tetamu ke majlis meraikan bapanya, Zainal Abidin Nordin, 60, yang naik pelamin bersama adik perempuan, Nur’ Rushda, 25.

Nur’ Aziyan ketika ditemui berkata, seluruh ahli keluarganya sangat gembira kerana majlis dirancang berlangsung meriah, malah dia tidak hanya mendapat ibu baru iaitu Noor Aliza Ahmad, 50, malah adik ipar, Mohd Firdaus Mohd Husin, 27, yang juga penjawat awam.

“Ayah (Zainal Abidin) bernikah dengan ibu (Noor Aliza) pada 5 Januari lalu, tetapi tiada majlis diadakan dan atas sebab itu kami sekeluarga merasa perlunya mereka dirai dalam majlis perkahwinan Nur’ Rushda yang dirancang pada hari ini (semalam).

“Kami adik-beradik seramai enam orang mahukan ayah berkahwin semula selepas ibu meninggal dunia pada Aidilfitri ketujuh tiga tahun lalu dan hari ini semuanya menjadi kenyataan, memang kami gembira.
“Ayah sudah ada orang yang boleh menjaganya dan kami percaya ibu tiri mampu menunaikan tanggungjawabnya dengan baik. Dia calon sesuai untuk ayah kami walaupun pertemuan mereka diatur Nur’ Rushda yang berkawan dengan anak ibu.

“Lagipun, kedua-duanya pun kematian pasangan pada Aidilfitri tahun sama. Jadi tiada halangan untuk hidup bersama,” katanya. Menceritakan bibit pertemuan itu, Nur’ Aziyan berkata, sebelum ayahnya berkenalan dengan Noor Aliza setahun lalu, mereka adik-beradik sepakat menguji ibu tirinya menggunakan pelbagai cara terutama menerusi masakan dan cara mengemas rumah.

“Ayah sangat cerewet, jadi kami menguji ibu dengan masakan dan cara dia mengemas rumah. Selepas mendapati dia sangat penyabar dan bijak melayani kehendak ayah membuatkan kami merasa dia calon paling sesuai, malah ayah terbuka hati untuk berkahwin lagi,” katanya.

0 comments:

Post a Comment