20 January 2012

Warga emas ditembak di paha

JOHOR BAHRU 20 Jan. – Seorang wanita warga emas cedera akibat ditembak di paha kanan selepas bergelut dengan empat lelaki bertopeng yang cuba menyamun kereta Toyota Camry milik keluarganya di Taman Abad di sini awal pagi ini.

Kejadian berlaku pukul 1.10 pagi ketika mangsa, Lim Sui Kim, 62, sedang tidur bersama dua cucu angkat lelakinya berusia tiga dan enam tahun.

Dia kemudian dikejutkan dengan kehadiran empat lelaki yang memecah kunci pagar dengan menggunakan sebatang besi kuku kambing untuk memasuki kawasan rumah teres setingkat didiami mangsa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, suspek kemudian mengugut mangsa untuk menyerahkan kunci kereta tersebut.

“Mangsa enggan menyerahkan kunci lalu cuba melarikan diri dan menelefon pihak polis namun ditembak di bahagian paha kanannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, selepas menyedari suami mangsa sempat membuat panggilan kepada pihak polis, penjenayah berkenaan bergegas melarikan diri dengan hanya berjaya membawa beg duit mangsa.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk menerima rawatan.

Zainuddin berkata, polis percaya penjenayah berkenaan menggunakan pistol semi automatik untuk menembak mangsa.

Turut ditemui di tempat kejadian, sebatang besi kuku kambing yang digunakan untuk memecah pintu pagar rumah berkenaan.

Polis menubuhkan pasukan khas untuk memburu kumpulan penjenayah berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi talian hotline 07-2212999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

0 comments:

Post a Comment