Samun
KOTA BHARU- Seorang wanita cedera parah selepas ditembak lelaki yang bersenjatakan pistol Revolver jenis .38 dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Slow Machang, Pasir Mas, semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa, Che Asmah Che Awang, 50, mengalami cedera parah selepas terkena tembakan di perut kanan, kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, dan keadaannya dilaporkan stabil.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dalam kejadian itu, empat suspek dipercayai terbabit dalam kejadian itu yang melarikan sebuah kereta jenis Honda Jazz, barang kemas dan wang tunai bernilai RM5,000.
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama empat lagi ahli keluarganya sedang tidur sebelum didatangi empat lelaki bertopeng.
Kejadian disedari anak mangsa Mohd Khairul Azani Mohd Lawi, 26, selepas terdengar bunyi tembakan serta pintu ditendang.
Jalaluddin berkata, sebaik Mohd Khairul keluar dari bilik, dia mendapati empat lelaki bertopeng di dalam rumah lalu mengheretnya keluar.
”Keempat-empat lelaki terbabit kemudian menggeledah di dalam bilik anak mangsa sebelum melarikan barangan berharga. Suspek melarikan empat telefon bimbit, tiga utas rantai leher, wang tunai RM5,000, tiga bentuk cincin dan sepasang subang serta sebuah kereta Honda Jazz milik anak mangsa,” katanya.
Mangsa yang mengalami cedera di perut kemudian dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) oleh suaminya Mohd Lawi Dollah, 53, sebaik penyamun terbabit melarikan diri.
Beliau berkata, polis melancarkan gerakan memburu suspek dan mengesan kereta mangsa untuk siasatan lanjut. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dengan menggunakan senjata api.
Sementara itu, Mohd Lawi ketika ditemui di rumahnya berkata, sebelum kejadian dia terdengar bunyi orang mengetuk pintu dan memberi salam.
“Saya kemudian bergegas membuka pintu dan terkejut apabila melihat tiga lelaki bertopeng menyerbu masuk dan seorang lagi menendang pintu belakang rumah. Saya kemudian diarah duduk dan salah seorang daripadanya mengacukan sepucuk pistol,” katanya.
Mohd Lawi berkata, beberapa minit kemudian dia diarah membuka suis lampu dan secara tiba-tiba, satu das tembakan dilepaskan ke arah isterinya.
Menurutnya, selepas empat lelaki terbabit melarikan diri, dia terus membawa isterinya yang cedera parah ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan.