Armenia
ISTANBUL - Kerajaan Turki melahirkan rasa marah ke atas Perancis ekoran keputusan Senatnya meluluskan undang-undang baru, yang menyediakan peruntukan menghukum pihak yang menafikan pembunuhan dilakukan Empayar Ottoman ke atas rakyat Armenia ketika Perang Dunia Pertama.

Kementerian Luar Turki melabel keputusan itu sebagai "tidak bertanggungjawab" dan mengugut akan mengambil tindakan balas, lapor BBC.

Armenia berkata sehingga 1.5 juta orang telah terbunuh antara tahun 1915 dan 1916 selepas Empayar Ottoman berpecah.

Turki menolak terma pembunuhan yang digunakan dan menegaskan bilangan mereka yang terbunuh juga jauh lebih kecil.

Rang undang-undang itu akan dihantar kepada Presiden Nicolas Sarkozy untuk ditandatangani dan dijadikan undang-undang kelak, yang dijangka hujung bulan depan.

BBC juga melaporkan bahawa para koresponden menyifatkan langkah terbaru itu dijangka akan menjejaskan dengan teruk hubungan Perancis dan Turki, yang merupakan rakan dalam Nato.

"Perancis membuka satu halaman hitam dalam sejarah," kata Volkan Bozkir, ketua jawatankuasa hal ehwal luar Parlimen Turki menerusi Twitter.

Duta Turki ke Perancis, Tahsin Burcuoglu pula berkata, penggubalan undang-undang itu akan membawa kepada kesan buruk hubungan kedua-dua negara.

Kenyataan Kementerian Luar membayangkan keputusan meluluskan undang-undang itu dipengaruhi oleh pemilihan presiden Perancis yang bakal diadakan.

Kira-kira 500,000 orang keturunan Armenia tinggal di Perancis.