25 January 2012

Tujuh cadangan dibuat pada PRU13

KUANTAN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bersetuju melaksanakan tujuh daripada 10 cadangan dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Penambahbaikan Pilihan Raya (PSC) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, baki tiga lagi cadangan iaitu melibatkan pengundi luar kawasan, pertukaran kawasan pendaftar dan pengundi tidak hadir yang berada di luar negara, masih dalam kajian SPR.

“Tujuh cadangan dilaksanakan pada PRU13 termasuk penggunaan dakwat kekal, pengundian awal bagi anggota polis dan tentera serta pasangan masing-masing, memanjangkan tempoh pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan dari tujuh hari kepada 14 hari, pemansuhan proses bantahan dan tempoh penarikan diri pencalonan serta pembersihan daftar pemilih,” katanya selepas taklimat kepada pegawai pengurus dan penolong pengurus PRU13 di sini, semalam.

Katanya, jawatankuasa dibentuk Ogos lalu, telah menamatkan sesi pendengaran awam yang dijalankan ke se­luruh negara, pada Jumaat lalu di Johor Bahru.

“Kita difahamkan laporan akhir daripada jawatankuasa tersebut akan dibentangkan di Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat Mac nanti,” katanya.

Berhubung pembersihan daftar pemilih, beliau berkata, SPR mengemukakan senarai 12.4 juta pengundi berdaftar kepada MIMOS Bhd bagi tujuan tersebut awal bulan ini.

0 comments:

Post a Comment