GEORGETOWN - Dakwaan kononnya pembangkang mahu menubuhkan ‘Kerajaan Cina’ di Perak jika memenangi pilihan raya akan datang adalah fitnah selain cuba memainkan sentimen perkauman.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, DAP mahupun Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah bercadang untuk menubuhkan Kerajaan Cina seperti yang didakwa Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam sebuah akhbar arus perdana semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, pembohongan yang dibuat Soi Lek itu amat berbahaya kerana boleh menimbulkan kebencian dan mengelirukan rakyat.

“Kami langsung tidak pernah bercadang mahu menubuhkan Kerajaan Cina mahupun kerajaan apa-apa bangsa sekalipun seperti yang didakwa Soi Lek. Apa yang kami mahu tubuh adalah kerajaan berjiwa rakyat.

“Saya menggesa agar dia menarik balik kenyataan itu atau buktikan bila pemimpin PR mengatakan mahu menubuhkan Kerajaan Cina. Jika dia gagal berbuat demikian saya akan mengarahkan pemimpin saya di Perak untuk membuat laporan polis terhadapnya,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurutnya, tidak timbul isu menubuhkan Kerajaan Cina di Perak sekiranya PR berjaya menakluki semula negeri itu kerana sebelum ini pimpinan PR negeri itu sebulat suara memilih Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.

Beliau berkata, tindakan Soi Lek itu bukan sahaja menunjukkannya hilang modal politik malah amat memalukan apabila sanggup menipu rakyat dengan memfitnah parti lawan hanya untuk menarik perhatian pengundi dalam pilihan raya akan datang.

Sehubungan itu, Guan Eng memberi tempoh 24 jam kepada Soi Lek untuk menarik balik kenyataan itu atau bakal dikenakan tindakan undang-undang.