25 January 2012

Tiga beranak mati ditetak


HAMZA Taib menunjukkan gambar suspek yang dikehendaki dalam kes pembunuhan tiga sekeluarga di Kalumpang, Ahad lalu.


KOTA KINABALU 25 Jan. - Tiga beranak, termasuk satu pasangan suami isteri dibunuh kejam oleh sekumpulan 11 lelaki yang bersenjatakan parang di rumah mereka di Kalumpang, Semporna, Ahad lalu, dipercayai bermotifkan membalas dendam dan hutang.

Mangsa ialah Ismail Jaafar, 50; Salmiah Iran, 46, dan bapa Ismail yang hanya dikenali sebagai Jaafar, 70.
Turut terbunuh ialah seorang lelaki dipercayai daripada kumpulan penyerang tersebut, Jul Mohd. Nan, 37, yang disyaki terlibat dalam pergelutan dengan mangsa.

Berikutan itu, polis telah menahan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan tersebut manakala sembilan lagi rakan suspek diburu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, siasatan mendapati kesemua mangsa ditetak dengan parang oleh kumpulan terbabit yang menyerbu masuk rumah yang terletak di ladang kelapa sawit itu, ketika mereka berehat pukul 5.10 petang.

Jelas beliau, mayat Ismail dan Jaafar ditemui di dalam rumah berkenaan manakala mayat Salmiah pula dijumpai berhampiran ladang sawit itu pukul 3.40 pagi keesokannya.

"Kita percaya Salmiah sempat melarikan diri daripada kumpulan itu, namun mangsa meninggal dunia akibat cedera parah di leher dan badan," ujarnya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, tiga anak pasangan itu yang berusia 13 sehingga 18 tahun serta dua lagi ahli keluarga mereka berjaya melepaskan diri daripada menjadi mangsa.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati, pembunuhan itu bermotifkan balas dendam disebabkan masalah hutang.

"Suspek utama iaitu Amin Hatai, 37, dan dua rakannya telah ditahan dalam tempoh 48 jam selepas kejadian itu.

"Polis mencari baki sembilan rakan suspek. Kita juga menemui lima parang yang digunakan untuk menyerang mangsa di tempat kejadian," katanya.

0 comments:

Post a Comment