27 January 2012

Tekad benam Bahrain


KHAIRUL FAHMI akan menyertai latihan skuad Harimau Muda esok.


DALAM tempoh beberapa hari sahaja lagi, skuad Olimpik negara bakal membuat perhitungan semula dengan Bahrain pada aksi kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia Kumpulan C, 5 Februari depan.

Dijangka ‘terbang’ ke Manama pada Rabu depan, sudah tentu anak-anak buah Ong Kim Swee mahu melupakan nestapa dijinakkan pasukan kendalian Salman Shareeda dengan keputusan 2-3 meskipun selesa mendahului dengan kelebihan dua gol pada pertemuan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, November tahun lepas.

Mungkin ada yang sudah lupa betapa skuad Olimpik negara seolah-olah diajar erti sebenar permainan bola sepak apabila tewas menerusi tiga gol pantas jaringan pemain gantian Bahrain, Saad Salah Al- Amer dan Isa Ahmed Muthanna (dua gol) pada penghujung babak kedua pada perlawanan itu.

Paling memeritkan, Harimau Muda tewas kepada pasukan pelawat yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Fahad Tareq Showaiteb dilayangkan kad merah pada awal babak kedua.

Dua gol cantik daripada permata muda negara, Nazmi Faiz Mansor dan Mahali Jasuli dalam perlawanan itu juga seolah- olah tidak memberikan sebarang makna apabila mereka tewas, tambahan pula reputasi selaku juara bertahan Sukan SEA menewaskan musuh tradisi, Indonesia beberapa hari sebelum itu juga belum cukup untuk menghadirkan rasa gerun di hati pemain Bahrain.

Justeru, pemergian pemain muda negara ke sana kali ini pastinya bukan semata- mata mahu melengkapkan jadual perlawanan tetapi berdepan misi menebus semula maruah yang tercalar.

Buktikan kepada Bahrain betapa kekalahan kita tempoh hari hanyalah kerana faktor keletihan, dan kini tibalah giliran mereka pula untuk dimalukan.

Selain Bahrain, Malaysia juga tewas 0-2 dalam kedua-dua pertemuan menentang Jepun dan Syria sebelum ini, sekali gus menghuni tangga tercorot Kumpulan C tanpa sebarang mata.

Biarpun ‘pintu’ skuad negara menjejakkan kaki ke temasya Olimpik London kini dipotretkan tertutup rapat, Kim Swee sebaliknya masih belum mahu ‘mengibarkan bendera putih’ sebegitu sahaja dan yakin anak-anak buahnya mampu kembali bangkit mempamerkan aksi garang bagi membuktikan ‘kejantanan’ masing-masing.

“Sudah tentu saya melihat perlawanan Kelayakan Olimpik 2012 peringkat Kumpulan Zon Asia dari sudut yang positif.

“Pasukan ini sudah didedahkan dalam beberapa perlawanan antarabangsa dan saya yakin mereka lebih bersedia.

“Selain pendedahan, mereka juga dapat menimba pengalaman yang cukup tinggi. Namun, kami belajar daripada kesilapan lalu dan bersedia untuk memberikan yang terbaik menjelang pertemuan menentang Bahrain,” kata Kim Swee baru- baru ini.

Kehadiran semula penjaga gawang No.1 negara, Khairul Fahmi Che Mat yang kembali menyertai latihan meskipun ‘gagal dikesan’ sebelum ini juga pastinya melegakan Kim Swee.

Khairul Fahmi bersama tujuh lagi pemain bukan Harimau Muda iaitu Mohd. Zubir Azmi dan Muslim Ahmad (Terengganu), K. Gurusamy (Selangor), Ahmad Shakir Ali (Negeri Sembilan), Ahmad Fakri Saaraini (Felda United), Azrif Nasrulhaq Badrul (PKNS) dijangka kembali menyertai latihan esok selepas membantu pasukan masing-masing menghadapi aksi Liga Super malam ini.

Wan Amirzafran Wan Nadris (Harimau Muda B) pula juga dijangka kembali semula ke pangkuan pasukan dengan kadar segera selepas membantu pasukannya berdepan USM FC bagi aksi Liga Perdana malam tadi.

Anak-anak buah Kim Swee juga bakal berdepan cabaran Gombak United di gelanggang lawan sebagai aksi pembuka tirai Liga Singapura (Liga S) di Stadium Jurong West antara 10 atau 11 Februari depan, dan ia dilihat sebagai detik penentu kemampuan pasukan negara untuk sekurang-kurangnya berada dalam kelompok lima pasukan terbaik Liga-S musim ini.

0 comments:

Post a Comment