17 January 2012

Tauke butik pakaian nyaris putus jari ditetak perompak

KOTA KINABALU: Seorang peniaga butik pakaian menempuh detik cemas apabila ditetak dua lelaki berparang yang menerjah masuk ke dalam premisnya sebelum melarikan beg mengandungi wang RM2,000 dan telefon bimbit dalam kejadian di Jalan Kingfisher, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, Norezai Awang Sham, 36, nyaris putus jari kanan ketika cuba menyelamatkan beg tangannya, manakala pembantunya berusia 16 tahun yang turut berada dalam premis itu tidak cedera.

Difahamkan, sebaik berjaya menyamun, kedua-dua lelaki terbabit mengunci mangsa yang mengerang kesakitan bagi melengahkan usaha mendapatkan bantuan.
Sumber berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama seorang pekerjanya sedang mengemas butik sebelum didatangi dua lelaki bersenjatakan parang.

Menurutnya, mangsa yang terkejut cuba berlari meminta bantuan, tetapi dihalang lelaki terbabit yang terus mengacu parang ke arah mangsa.

“Seorang daripada suspek yang melihat beg mangsa cuba merampasnya namun mangsa menghalang menyebabkan berlaku pergelutan sebelum suspek menetak jari hantu mangsa dan melarikan diri.
“Mangsa berjaya memecahkan pintu menggunakan batang besi bagi meminta bantuan sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Datin Zainab Yunus ketika ditemui berkata, beliau hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan anaknya yang menghubunginya mendakwa dirompak dua lelaki berparang.
“Saya bergegas ke butiknya dan mendapati anak saya cedera di jari lalu menghantarnya ke Hospital Likas.

Harian Metro difahamkan, mangsa anak kepada Timbalan Ketua Umno Bahagian Sandakan, Datuk Awang Sham Amit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan masih menjalankan siasatan.

0 comments:

Post a Comment