29 January 2012

Tangani isu peralat pelajar tahfiz


YAN - Majlis Agama Islam Negeri (Main) diminta mengambil tindakan drastik bagi menangani isu memperalatkan pelajar sekolah tahfiz untuk mengutip derma.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Main perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan fenomena itu kerana ia merupakan satu penipuan kepada ibu bapa.
 
"Sebab kutipan derma yang dibuat semacam satu penipuan kepada pihak ibu yang meyakini anak-anak mereka ini datang (ke sekolah tahfiz) untuk menghafal Al-Quran dan belajar agama tapi lain yang dibuatnya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdzah, Bukit Besar di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar yang mendakwa pelajar sebuah pusat tahfiz dikerah mengutip derma bagi membiayai aktiviti menghidupkan kembali ajaran sesat Azhar Wahab yang berselindung di sebalik jualan amal di seluruh negara.
 
Jamil Khir berkata, Main wajar mengenalpasti sekolah tahfiz yang terlibat dan membuat perbincangan secara terus berhubung permasalahan itu dengan pihak sekolah terbabit untuk menyekat aktiviti mereka dengan lebih berkesan. 
 
Katanya, beliau juga berharap Pihak Berkuasa Tempatan membuat penelitian berhubung status pembinaan sesebuah sekolah tahfiz sama ada sah di sisi undang-undang atau sebaliknya.

Beliau berkata kewujudan sekolah tahfiz yang tidak berdaftar boleh menimbulkan kesan negatif kepada pembelajaran anak-anak memandangkan mereka tidak tahu tentang kurikulum sekolah yang diguna pakai.

Pada lawatan itu Jamil Khir yang mewakili Jabatan Perdana Menteri memberi sumbangan berupa wang tunai RM10,000 kepada pihak sekolah untuk pembiayaan membaik pulih serta membeli kelengkapan bilik asrama lelaki yang terbakar pada 24 Jan lepas.
 
Dalam kejadian pukul 12.40 tengah hari itu, sebuah bilik asrama lelaki musnah terbakar dan kerugian dianggar RM10,000. - Bernama

0 comments:

Post a Comment