28 January 2012

Syiling 50 sen dalam perut anak

IPOH: Sepasang suami isteri pucat lesi apabila anak kecil mereka yang berusia enam tahun menelan sekeping syiling 50 sen.

Lebih membimbangkan apabila syiling itu didapati masih tersangkut di usus perutnya sejak lapan hari lalu walaupun pelbagai cara dilakukan untuk mengeluarkannya.

Ibu mangsa yang juga produser rangkaian televisyen Al-Hijrah, Harlida Abu Bakar, 37, berkata, anaknya Ilhan Hadiff Isnawan, 6, menelan syiling itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari tadika pada 19 Januari lalu.

Menurutnya, suaminya, Isnawan Lamidi, 37, yang memandu kereta terkejut apabila anaknya tiba-tiba memberitahu menelan syiling yang ditemui di dalam kereta.

“Panik dengan apa yang berlaku, suami berusaha mengeluarkan syiling itu dengan menjolok tekak Ilhan.

“Malangnya, syiling itu melepasi tekaknya sebelum jatuh ke perut. Kami bimbang syiling itu boleh menyebabkan keracunan atau saluran usus tersumbat,” katanya.

Menurutnya, dia dan suami kemudian segera membawa anak mereka ke sebuah hospital swasta di sini untuk menjalani ujian X-Ray sebelum mendapati syiling itu masih melekat di perutnya.

“Doktor kemudian memberikan ubat bagi membolehkan anak saya membuang air besar bersama syiling itu, namun ia masih terperangkap di dalam perutnya.

“Doktor memberitahu syiling itu perlu dikeluarkan dari tubuh anak saya berikutan bimbang ia boleh menyebabkan keracunan atau berak berdarah,” katanya.

Dia berkata, anaknya bagaimanapun tidak membuang air besar selama empat hari, menyebabkan mereka bimbang walaupun mendapati kesihatannya tidak terjejas.

“Doktor menasihati kami supaya segera membawanya mendapatkan rawatan jika Ilhan mengadu sakit perut atau tanda-tanda lain yang membimbangkan,” katanya.

Harlida berkata, dia bagaimanapun yakin syiling itu dapat dikeluarkan dari perut anaknya tidak lama lagi berdasarkan kenyataan doktor pakar ditemui kelmarin.

0 comments:

Post a Comment