17 January 2012

Stor ganja RM1.7 juta

SHAH ALAM: Polis Selangor menumpaskan satu sindiket pengedaran ganja yang aktif di Lembah Klang selepas merampas 79 ketulan daun kering mampat disyaki ganja seberat 153.9 kilogram (kg) bernilai RM1.7 juta yang disorok dalam stor sekolah memandu berhampiran Lebuhraya Karak, di ibu negara Ahad lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, stor berkenaan diserbu selepas polis menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di Lebuhraya Duta-Hulu Klang (Duke), Gombak, jam 2 pagi hari sama.

Tun Hisan berkata, lelaki berusia 30 tahun yang juga tenaga pengajar sebuah sekolah memandu sedang berjalan di tepi lebuh raya sebelum dihampiri sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Katanya, sebaik ditahan, polis menemui satu ketulan daun kering mampat ganja seberat 1.9kg bersama suspek.

“Penahanan suspek membawa polis ke sebuah stor sekolah memandu di tepi Lebuhraya Karak dan hasil pemeriksaan di premis berkenaan, polis menemui 153.9kg daun kering mampat ganja disorok dalam stor berkenaan jam 4 pagi hari sama.

“Polis turut menahan dua lelaki berusia 33 tahun dan 38 tahun di sekitar premis berkenaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.
Beliau berkata, seorang daripada suspek warga Indonesia bekerja sebagai pengawal keselamatan dan seorang lelaki warga tempatan tidak bekerja serta mempunyai rekod penyalahgunaan dadah.

0 comments:

Post a Comment