14 January 2012

Stadium Hoki Sultan Azlan Shah bertaraf Olimpik

Stadium Hoki Sultan Azlan Shah bertaraf Olimpik
STADIUM Hoki Sultan Azlan Shah (SAS) ba­kal menjadi stadium pertama di Asia menggunakan karpet baru mengikut spesifikasi Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Ia bakal direalisasikan hasil naik taraf gelanggang melalui peruntukan RM2.1 juta oleh Kerajaan Negeri Perak.

Naik taraf itu juga dibuat sebagai persiapan menjadi tuan rumah sempena Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2012 yang akan berlangsung Mei ini.

Presiden Persatuan Hoki Perak (PHP), Datuk Abdul Rahim Md Ariff berkata, kerja pemasangan karpet baru menggunakan spesifikasi bertaraf dunia dan bercirikan stadium litar Formula 1 itu selesai dilakukan.

“Karpet yang sama akan digunakan untuk kejohanan Olimpik di London tahun ini dan kita merancang membawa pasukan negara berlatih di Ipoh bagi memudahkan mereka menyesuaikan diri serta memantapkan permainan.

“Kita turut menjalankan kerja naik taraf memasang bumbung di tempat duduk berhadapan tempat duduk utama bagi mengelak cuaca panas selain memberi keselesaan penonton,” katanya.

Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berkenan mencemar duli membuat tinjauan kerja-kerja menaik taraf stadium hoki itu.

Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Zainol Padzi Paharuddin; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim.

Mengulas lanjut mengenai PSAS, Abdul Rahim berkata, lima pasukan iaitu Australia, Pakistan, New Zealand, Belgium dan Malaysia mengesahkan pe­nyertaan dalam kejohanan 11 hari itu.

“Kami masih menunggu pengesahan dari Great Britain dan Belanda manakala Jerman tidak dapat menyertai kejohanan kali ini.

“Kita juga akan pastikan penganjuran PSAS akan berjalan dengan lancar,” katanya.

0 comments:

Post a Comment