27 January 2012

SPAD tahan 12 pemandu teksi

KUALA LUMPUR 28/01/2012 — Seramai 12 pemandu teksi ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya tidak menggunakan meter dalam satu operasi oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) di sini malam tadi.

Pengurus Besar Penguatkuasaan & Latihan SPAD, Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad berkata enam pemandu ditahan kerana menetapkan tambang sesuka hati, dua tidak menggunakan meter, dua kerana tiada dokumen pemandu dan dua lagi kerana mengambil dan menurunkan penumpang di tempat yang tidak dibenarkan.

"Kesemua mereka berumur 30 hingga 50 tahun itu berjaya ditahan selepas pegawai kita yang terlibat dalam operasi kali ini iaitu seramai 30 orang melakukan penyamaran dengan menaiki teksi-teksi ini dari TerminalTambang Murah (LCCT) sehingga ke KL Sentral,” katanya kepada pemberita selepas operasi selama tiga jam yang bermula pukul 8 malam.

Che Hasni berkata, pemandu yang tidak menggunakan meter akan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau dua tahun penjara atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata orang ramai yang merasa tertipu dengan helah pemandu teksi sedemikian boleh membuat aduan SMS SPAD Aduan (aduan anda) ke 15888, atau menelefon talian Hotline SPAD di 1–800–88–9600 ataupun menghantar e-mel melalui aduan@spad.gov.my.— BERNAMA

0 comments:

Post a Comment