19 January 2012

Shahrizat fail saman RM100 juta terhadap pemimpin PKR

                                          shahrizat 
 KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semalam memfailkan saman RM100 juta terhadap Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin dan pengarah strategi parti itu Mohd. Rafizi Ramli berhubung kenyataan yang didakwa memfitnah beliau berhubung isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Beliau memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil melalui firma peguam Shafee & Co. pada pukul 3 petang.

Shahrizat, yang kini bercuti tiga minggu untuk memudahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kontroversi NFC menuntut ganti rugi am RM50 juta dan RM50 juta lagi bagi ganti rugi teladan dan teruk daripada kedua-dua defendan.

Beliau juga memohon satu injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan sama ada secara lisan atau dengan cara penerbitan terhadap beliau berhubung sebarang perkara berkaitan dengan NFC atau syarikat-syarikat bersekutu.

Beliau juga menuntut kos perundangan dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Dalam pernyataan tuntutannya, Shahrizat menyatakan bahawa pada setiap masa beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam NFC dan kedua-dua defendan mula mengadakan sidang akhbar di pelbagai lokasi untuk memfitnah NFC, suaminya, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan keluarga.

Ketua Wanita UMNO itu mendakwa bahawa defendan secara sistematik dan berniat jahat melancarkan satu kempen untuk 'serang, mencemarkan nama baik, memburuk-burukkan dan memfitnah plaintif' dengan menyebarkan dakwaan mengandungi fitnah terhadap beliau.

0 comments:

Post a Comment