29 January 2012

Seorang lelaki terperangkap tiga hari dalam lumpur


ALBUQUERQUE (New Mexico): Seorang lelaki merempat yang terperangkap dalam lumpur dekat Sungai Rio Grande di bandar raya ini selama tiga hari diselamatkan, semalam selepas beberapa pelajar sekolah tinggi yang berada di situ terdengar jeritan meminta tolong, kata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kebebasan lelaki itu tidak lama kerana polis berkata, dia dikehendaki atas kesalahan jenayah. Polis akan menahannya selepas dia dirawat di hospital. Sekumpulan pelajar sekolah tinggi La Cueva dan guru biologi mereka terdengar jeritan lelaki itu pagi kelmarin dari kawasan berlumpur di Pusat Pemuliharaan Terbuka Oxbow, kata polis dan Jabatan Bomba Albuquerque.

Kumpulan pelajar itu berada di kawasan berkenaan iaitu kira-kira 3.2 kilometer di utara lebuh raya 40 di Albuquerque untuk projek sekolah. Mereka menghubungi pihak berkuasa memberitahu lelaki terbabit terperangkap dalam sungai itu selama tiga hari dan tidak dapat bergerak. Anggota bomba dan pegawai perhilitan tiba di tempat kejadian dan mendapati “seorang lelaki terperangkap di rimbunan tanaman kira-kira 300 kaki dari barat tebing sungai itu,” kata pihak berkuasa. Anggota bomba kemudian menggunakan bot udara dan sistem takal untuk mengangkat lelaki itu dari lumpur ke kawasan bukit.


Polis kemudian mengenal pasti lelaki terbabit sebagai Clayton Senn, gelandangan yang tinggal di tepi sungai itu.

Polis berkata, mereka mempunyai waran tangkap ke atas Senn kerana disyaki melakukan jenayah serangan bersenjata. - AP

0 comments:

Post a Comment