14 January 2012

Sejauh mana Iran berperanan di Bahrain?

Negara-negara Arab di Teluk Parsi yang bergabung dalam blok Majlis Kerjasama Teluk, GCC, telah mengeluarkan kenyataan tegas menolak campur tangan Iran di Bahrain, negara kecil wilayah itu yang menhadapi protes rakyat pada masa ini.
Kepentingan Iran di Bahrain berkait dengan latar sejarah Teluk Parsi dan kedudukannya dalam geopolitik melibatkan tenaga dan persaingan kuasa serantau dan global di laluan penting perdagangan minyak dunia itu.
Negara-negara GCC bimbang dengan pengaruh Iran disebabkan majoriti Muslim Syiah di Bahrain dan hubungan tokoh-tokoh negara itu dengan Iran.
Iran juga didakwa mempunyai sel-sel perisikan di Bahrain dan negara-negara Arab Teluk lain, yang tangkapan mereka sentiasa menjadi isu yang memburukkan lagi hubungan GCC dengan Iran.
Hal ini menyebabkan negara-negara Arab di kawasan itu sentiasa mencurigai Iran yang dibimbangi mempunyai agenda yang besar untuk mendominasi wilayah itu.
Peranan Iran di Bahrain tidak boleh dinafikan, berdasarkan kepentingan-kepentingan yang jelas bagi Tehran sekiranya Bahrain berada dalam ruang pengaruhnya.
Iran juga tidak dapat dielakkan daripada mempunyai hubungan baik dengan tokoh-tokoh Syiah Bahrain, disebabkan persamaan aliran agama.
Menurut firma perisikan Stratfor – yang bersumber pemberi maklumat yang tidak didedahkan identiti – Hassan Mushaima pemimpin gerakan Haq, dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan pemerintah Iran.
Stratfor juga mendakwa dua tokoh Syiah dari Iran dan Iraq, Hadi al-Madrasi dan Muhammad Taqi al-Madrasi berperanan dalam membantu kumpulan Syiah penentang kerajaan Bahrain dalam protes mereka.
Hadi juga didakwa membantu dalam penubuhan Hizbullah Bahrain, yang seperti juga Hizbullah di Lubnan, mendapat sokongan daripada pengawal republik Iran.
Hubungan baik Hassan dengan Iran tergambar daripada satu kenyataannya yang dilaporkan Agensi Berita Ahlul Bayt, memetik laporan sebuah akhbar lain yang melaporkan tokoh berpengaruh Syiah Bahrain itu menegaskan mereka boleh meminta bantuan Iran sekiranya pemerintah Bahrain meminta bantuan Arab Saudi.
Walau bagaimanapun, Syiah Bahrain tidak boleh dikelompokkan sebagai satu kumpulan yang seragam segala aspirasi dan pendekatan mereka.
Kumpulan pembangkang Persatuan Perjanjian Islam Nasional (kumpulan politik menggunakan nama persatuan kerana larangan penggunaan nama parti di Bahrain) yang lebih dikenali sebagai Wefaq pimpinan Ali Salman berpendirian lebih sederhana berbanding Haq dan kumpulan-kumpulan lain.
Ali tidak lama dulu membuat kenyataan menolak campur tangan negara asing dalam politik Bahrain, yang bermaksud kedua-dua Arab Saudi dan Iran.
Wefaq yang pernah memboikot Parlimen Bahrain akhirnya bersetuju untuk menyertai sistem politik negara itu, dan pada masa sama menyuarakan tuntutan perubahan sistem raja berpelembagaan yang sebenar, dengan dewan rendah yang diundi dalam pilihan raya diberikan kuasa sebenar.
Haq, yang bersama beberapa kumpulan lain membuat tuntutan lebih radikal menjadikan Bahrain sebuah republik, muncul selepas Wefaq mengambil pendekatan sederhana itu.
Hassan ialah salah seorang pengasas Wefaq yang keluar menubuhkan Haq yang lebih mendapat sokongan dan ikutan warga Syiah Bahrain yang mahu perubahan yang lebih radikal berbanding apa yang diperjuangkan Wefaq.
Perpaduan Syiah di Bahrain menjadi lebih mudah ekoran tindakan pemerintah pimpinan Raja Hamad bin Isa al-Khalifah yang terus meminggirkan warga Syiah negara itu, dan mengambil langkah-langkah yang secara langsung menjejaskan kedudukan mereka.
Kebimbangan Saudi dan negara-negara Arab terhadap pengaruh Iran sering lebih mengambil kira senario terburuk yang berpotensi berlaku.
Sebagai sebuah negara kecil yang bersempadan dua kuasa serantau, Bahrain dengan kuasa politik Syiah yang lebih daripada masa kini boleh dijangka akan bersikap pragmatik dan tidak tunduk atau menjadi alat Iran.
Selain Iran dan Arab Saudi yang berseberangan dalam hal melibatkan Bahrain dan Teluk Parsi, sebuah lagi negara turut mempunyai agenda yang besar dalam perkembangan di Bahrain dan seluruh Asia Barat pada masa ini.
Negara tersebut, Qatar, memiliki saluran berita televisyen berpengaruh al-Jazeera, alat yang penting dalam pembinaan pengaruh serantaunya.
Qatar mempunyai agenda meningkatkan pengaruhnya, salah satu melalui peranan dalam rundingan damai, seperti yang pernah diusahakan dalam kes melibatkan konflik di Yaman dan Sudan.
Negara kecil itu juga mahu mengekalkan hubungan baiknya dengan kedua-dua kuasa dominan dunia Arab dan kuasa-kuasa Barat.
Qatar yang berjiran dengan Bahrain juga mempunyai kepentingan serupa dengan Arab Saudi dan negara Arab lain untuk melihat pemerintahan raja di Bahrain tidak tergugat, supaya tidak menjadi beban kepada monarki lain di kawasan itu.
Walaupun kurang berprofil tinggi berbanding Saudi, Qatar menjadi satu pemain yang tidak kurang penting dalam menangani politik kompleks kebangkitan rakyat Arab pada masa ini.
Hal ini dilihat menjadi satu sebab perbezaan sikap Qatar berhubung protes rakyat di Mesir, Libya dan Bahrain.
Qatar menjadi negara Arab pertama mengiktiraf pemberontak Libya dan menyertai misi ketenteraan pimpinan Barat di ruang udara Libya, dan pada masa sama menyokong bantuan Saudi dan GCC mempertahankan rejim Bahrain.
Sikap pemerintah Qatar ini turut mendapat sokongan ilmuan Islam berpengaruh yang menetap di negara itu, Dr Yusuf al-Qaradawi, yang dilapor berkata kebangkitan di Bahrain bersifat sektarian dan sebelum itu membenarkan Kolonel Muammar Gaddafi dibunuh.
Pendirian tokoh agama ini berhubung Syria juga menimbulkan persoalan tentang konteks politiknya.
Beliau baru-baru ini dilapor mengecam pemerintah Syria pimpinan Presiden Bashar al-Assad kerana tindakannya terhadap protes rakyat di negara itu.
Syira, bersama Algeria ialah dua negara ahli Liga Arab yang menentang dalam undian untuk zon larangan terbang di Libya. (Hanya 11 daripada 22 negara ahli hadir dalam undian itu).
Pendirian itu bertentangan dengan sikap GCC, termasuk Qatar yang menyokong serangan ke atas Libya.
Syria, sekutu kuat Iran sejak 1979 ialah negara Arab yang sentiasa berada di kutub bertentangan dengan negara-negara Arab lain, terutama Saudi dan GCC.
Jelas bahawa perkembangan semasa melibatkan Teluk Parsi dan seluruh dunia Arab tidak dapat dielakkan daripada memberi kesan kepada kuasa-kuasa serantau, termasuk Iran, Arab Saudi dan Qatar.
Kepentingan itu semua kini mendedahkan kompleksiti perkembangan di seluruh rantau itu kini.

0 comments:

Post a Comment