17 January 2012

‘Saya tak buat’

SEREMBAN: “Saya tak buat”. Demikian kata bekas Pengarah Veterinar Negeri Sembilan yang mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas empat tuduhan berkaitan pemalsuan dokumen kenaikan gred jawatannya, sejak tiga tahun lalu.
Datuk Dr Noor Soeraya Norsham, 38, kelihatan tenang ketika tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datin Nursinah Adzmi.

Tertuduh yang berpakaian gelap kemudian menggelengkan kepala dan membuat pengakuan tidak bersalah.
Mengikut tuduhan pertama, Noor Soeraya didakwa memberikan kepada seorang ejen iaitu Pembantu Tadbir Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Siti Norhayati Md Yusof, satu dokumen bertarikh 27 Februari 2009 berhubung Arahan Kenaikan Pangkat dan Pengesahan Jawatan Pegawai Veterinar Gred G48 sedangkan dia masih memangku Gred G44 sekali gus memperoleh RM39,536.90 secara salah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Jalan Pantai di sini, pada 16 Mac 2009.

Seterusnya, pada 5 Januari 2010 di lokasi sama, dia didakwa memberi dokumen bertarikh 28 Disember 2009 kepada Siti Norhayati berhubung Arahan Memangku Jawatan Pegawai Veterinar Gred G52- Khas Untuk Penyandang (KUP) di Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Tindakan itu bagi menyelaraskan gaji dan elaun yang mana tertuduh mempunyai kepentingan serta mengandungi butiran palsu sedangkan dia tidak dinaikkan pangkat sekali gus memperoleh RM5,013.82 secara salah. Bagi tuduhan ketiga, dia didakwa melakukan perbuatan sama menggunakan dokumen bertarikh 1 Julai 2010 berhubung Keputusan Urusan Kenaikan Pangkat Pegawai Veterinar Gred G48 ke G52 sekali gus memperoleh RM5,764.86 secara salah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 2 Julai 2010.
Bagi tiga tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda suapan atau RM10,000 jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan keempat, tertuduh didakwa secara curang menggunakan dokumen bertarikh 31 Mac 2011 berhubung Keputusan Pemangkuan Pegawai Veterinar Gred G52 ke G54 yang dikatakan tulen bagi memperdaya Siti Norhayati di Bahagian Pentadbiran Jabatan Veterinar negeri pada 12 April tahun lalu.

Berikutan itu, Noor Soeraya didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan turut menawarkan tiga tuduhan pilihan terhadap tertuduh.

Nursinah kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 22 Februari depan.

Mahkamah membenarkannya diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

ditawarkan pendakwaan bagi semua pertuduhan dikurangkan kepada RM10,000 dengan seorang penjamin. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Fairuz Johari manakala tertuduh diwakili Muhamad Faiz Fadzil.

0 comments:

Post a Comment