18 January 2012

‘Saya sudah kahwin baru’

KUALA LUMPUR: “Ya, saya sudah kahwin baru...akhir tahun lalu,” demikian secara ringkas pengakuan bekas pemain badminton negara, Muhammad Roslin Hashim.
Selepas sekian lama ‘mengunci mulut’, Roslin ketika ditemui wartawan, semalam akhirnya akur dengan pertanyaan dan mengesahkan sudah berkahwin kali ketiga dengan seorang wanita yang enggan didedahkan identitinya.

“Saya tak boleh cakap siapa isteri saya demi menghormati keluarga orang rumah (isteri) saya,” kata Roslin yang pernah menjadi pemain badminton nombor satu dunia itu. Dia juga berharap perkahwinannya kali ini adalah yang terakhir. Pengakuan itu sekali gus melenyapkan teka-teki dan spekulasi berita perkahwinannya yang tersebar luas sejak kebelakangan ini. Dia berkata demikian selepas selesai prosiding perbicaraan secara tertutup kes tuntutan ganti rugi perkahwinan sebanyak RM53,460 yang dikemukakannya terhadap bekas isteri daripada perkahwinan pertama, Faizah Mohamad, 34, di Mahkamah Tinggi Syariah, semalam.
Faizah selaku defendan yang diwakili peguam syarie, Mohammad Amir Nazli Hussin hadir ke mahkamah dengan berbaju kurung dan bertudung biru ditemani dua saudaranya. Roslin, 37, sebelum ini pernah berkahwin buat kali kedua dengan Pengarah Pemasaran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Nurhayati Othman, 39, pada 9 Julai 2010 sebelum menceraikan isterinya itu 28 hari kemudian.

Terdahulu, pada perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan, Roslin memberi keterangan utama kira-kira 20 minit prosiding berjalan. Peguam syarie yang mewakili Roslin, Roslizam Rahim memberitahu, hakim menetapkan 22 Mac ini tarikh menyambung perbicaraan termasuk tambahan empat saksi.

Menurutnya, pihaknya akan memanggil beberapa saksi dan antaranya termasuk penerbit filem...Dalam Botol, Raja Azmi Raja Sulaiman. Roslin menceraikan Faizah selepas 12 hari mereka melangsungkan perkahwinan.
Pasangan itu bernikah di rumah Faizah di Puchong pada 30 Januari 2009 dan disahkan bercerai pada 12 Mei tahun sama oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya menerusi talak bain sughro.

Pada 21 Oktober 2009, Roslin mengemukakan tuntutan perbelanjaan terhadap Faizah ketika merisik, antaranya cincin bernilai RM1,900, kos pengangkutan (RM200) dan barangan pertunangan (RM2,915).
Bagi perbelanjaan ketika perkahwinan pula, Roslin menuntut duit hantaran dan mas kahwin (RM15,080), bayaran jurunikah (RM150), upah solekan pengantin dan sewa barang kemas (RM500), barang hantaran (RM11,465), baju serta kasut pengantin perempuan (RM6,750).

Turut dituntut, khidmat video (RM2,000), kad jemputan kahwin (RM700), pengangkutan dan penginapan (RM1,300), perbelanjaan kenduri di Kelantan (RM10,000) serta tiket kapal terbang (RM500).

0 comments:

Post a Comment