20 January 2012

'Saksi berniat jahat'

'Saksi berniat jahat'
SUBANG - Pelakon, Abdul Razak Ahmad, mendakwa penangkapannya pada malam dia dituduh berkhalwat dengan seorang ahli perniagaan di sebuah pangsapuri, tujuh tahun lalu, adalah suatu perangkap dan berniat jahat.

Menurutnya, dia ke premis yang dijadikan tempat menyimpan pakaian tajaan Selamah Sahudin adalah semata-mata untuk mencuba dan mengambil baju tajaan.

“Selamah adalah isteri kepada saksi pertama. Perbuatan tidak bermoral antara saya dan Selamah diada-adakan.

“Jelas semasa tangkapan, perbuatan (tidak bermoral) itu tidak wujud antara saya dan isterinya,” katanya dalam hujahan akhir pembelaan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya di sini, semalam.

Mahkamah memberi pilihan kepada Razak sama ada mahu membaca hujahan sendiri atau hadir bersama peguam pada tarikh lain dan Razak memilih untuk membacakan hujahan sendiri.
Razak, 45, yang sinonim dengan watak orang baik-baik itu, didakwa berkhalwat dengan Selamah di sebuah pangsapuri di Taman Serdang Perdana, jam 2.15 pagi, 1 April 2006.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 20 (1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang boleh dihukum denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selamah sudah pun mengaku bersalah atas tuduhan itu dan dihukum denda RM2,850.

Menurut Razak, dia ke premis Selamah pada pagi itu kerana dia mempunyai penggambaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk program 60 Jam Siaran Tanpa Henti RTM.
Sebelum itu, kedatangan Razak ke mahkamah tanpa peguam ditegur Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad, yang menyatakan sepatutnya peguam mendahulukan kes Razak kerana sudah berlarutan terlalu lama.
Wan Mahyuddin menetapkan 1 Mac depan untuk pihak pendakwaan diwakili Pendakwa Syarie, Shafezan Rusli, membalas hujahan dan meminta semua pihak memberi kerjasama untuk mempercepatkan kes berkenaan kerana kes itu sudah lama, iaitu sejak 2006.

0 comments:

Post a Comment