20 January 2012

Saintis Iran dibunuh guna maklumat PBB

GENEVA 20 Jan. – Iran semalam mendakwa pembunuhan saintis mereka pada minggu lalu kemungkinan besar menggunakan maklumat yang diperolehi dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Saintis nuklear Iran, Mostafa Ahmadi Roshan, 32, terbunuh selepas keretanya diletupkan menggunakan bom magnetik pada 11 Januari lalu.

Iran yang berdepan dengan kecaman Barat ekoran program nuklearnya, menuduh Amerika Syarikat (AS) dan Israel mendalangi pembunuhan tersebut.

Timbalan duta Iran ke PBB, Eshagh al Habib berkata, Iran dengan kuat mengesyaki rangkaian pengganas menggunakan maklumat perisikan yang dimiliki oleh badan dunia itu.

Katanya, ia termasuk senarai sekatan ke atas Majlis Keselamatan dan wawancara yang dibuat oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA ) dengan saintis nuklear Iran, untuk mengenal pasti sasaran dan melakukan tindakan jahat mereka,” kata Habib.

Menurut Habib, Roshan sebelum kematiannya telah menemui pegawai pemeriksa IAEA, sekali gus membuktikan bahawa agensi PBB itu mungkin memainkan peranan dalam membocorkan maklumat mengenai saintis dan kemudahan nuklear Iran.

Beliau turut menuduh badan dunia itu gagal untuk menyimpan rahsia berhubung pemeriksaannya ke atas kemudahan nuklear Iran.

Jurucakap PBB, Martin Nesirky berkata, beliau sedang meneliti tuduhan tersebut. – REUTERS

0 comments:

Post a Comment